COO Kumpulan Perladangan PKINK meninggal dunia

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Warga Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kehilangan seorang pegawai kanan apabila Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Perladangan PKINK Berhad, Hajah Nazura Zakuan, 53 meninggal dunia pagi tadi.

Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, beliau mendapat khabar dukacita arwah kembali ke rahmatullah selepas Subuh tadi.

Katanya, pemergiannya merupakan kehilangan besar buat Kumpulan Perladangan PKINK Berhad serta seluruh warga kerja yang mengenalinya.

“Arwah seorang yang baik, komited dan amat berdedikasi dalam melaksanakan amanah tugas.

“Saya merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah. Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini.

“Sama-sama kita mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempat dalam kalangan hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Difahamkan sebelum ini arwah menderita penyakit kanser usus. Jenazahnya dibawa ke Masjid Batu Papan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Papan.

Arwah meninggalkan suami Haji Salleh Tuan Ismail dan empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan. Allahyarham lahir pada 10 Oktober 1973 di Ketereh, memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Sebelum berkhidmat dengan Kumpulan Perladangan PKINK Bhd, arwah bekerja sebagai pegawai akaun di Ain Medicare Sdn Bhd selama empat tahun.

Arwah mulai berkhidmat sebagai Pengurus Kewangan dan Pentadbiran pada 2001 dan dinaik pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 16 Ogos 2021.

Sementara itu ikon media sosial, Swardi Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pok Wa yang terkenal dengan ungkapan ‘Ada Oghe Nak Maroh Ko?’ meninggal dunia semalam.

Allahyarham dikenali ramai menerusi kandungan video lucu tular di media sosial khususnya di TikTok sehingga suaranya sering digunakan pemilik akaun media sosial sebagai bahan hiburan dan suntingan kandungan kreatif.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berita pemergian Allahyarham meniti di laman sosial dan memberi kesan kepada ramai pengikutnya.

“Arwah merupakan antara ikon di media sosial yang terkenal dengan suara ‘Ada oghe nak maroh ko?’. Saya sendiri pernah guna suaranya dalam salah satu post di TikTok saya,” katanya.

Menurutnya juga sejak pemergian rakan karib Allahyarham iaitu Messo pada penghujung tahun 2024, Pok Wa dilihat sering bersedih dan kerap membuat hantaran mengenang sahabat rapatnya itu.

Katanya, ungkapan “Ada oghe nak maroh ko?” begitu sinonim dalam kalangan pengguna media sosial dan sering memenuhi kandungan lucu terutama di TikTok.

“Salam takziah buat ahli keluarga dan kenalan rapat. Semoga segala khilaf diampuni, segala kebaikan diterima dan segala urusan dipermudahkan di sana,” katanya.

 

 

Post a Comment

0 Comments