Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN HADAPI MUSIM TENGKUJUH DENGAN KESIAPSIAGAAN LENGKAP – EXCO KEBAJIKAN

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 27 November – Kerajaan Negeri Kelantan merangka pelbagai langkah komprehensif sebagai kesiapsiagaan lengkap dalam menghadapi musim tengkujuh yang melanda negeri mulai November 2024 sehingga Mac 2025.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa pelbagai langkah telah diambil termasuk penyelarasan menyeluruh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan sejak September lalu.

Persediaan itu melibatkan kerjasama erat dengan pelbagai agensi, masjid, surau, serta organisasi bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, antara inisiatif utama ialah penyediaan 459 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kapasiti menampung sehingga 186,440 mangsa, manakala 38 PPS sedang giat dibaik pulih dengan kos berjumlah RM810,000 yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya lagi, sebagai tambahan, depot Simpanan Keperluan Bencana di peringkat negeri, 16 Stor Bencana Daerah, dan 160 pangkalan hadapan telah dilengkapkan dengan bekalan makanan mencukupi.

Dalam aspek pemantauan pula, YB Rohani menjelaskan, Kelantan dilengkapi dengan 108 stesen telemetri hujan dan aras air, 59 siren amaran banjir, serta peralatan canggih seperti pam bergerak dan webcam untuk memastikan kesiapsiagaan maklumat cuaca semasa.

“Khusus bagi kawasan 'hotspot' seperti Rantau Panjang, projek kritikal seperti pembinaan 20 laluan air keluar di Sungai Golok Fasa 1 telah dipercepatkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” ujarnya ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang, YB Harun Ismail, dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, tahun 2024, hari kelima, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang, YB Harun Ismail

YB Rohani turut menekankan peranan sukarelawan dan petugas bencana dengan kekuatan lebih 7,209 anggota dari pelbagai agensi disediakan bersama 19,619 aset pelbagai guna. Latihan amal dan simulasi turut dijalankan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam situasi sebenar.

“Sokongan psikologi kepada mangsa banjir juga diberikan perhatian oleh 194 kaunselor yang dikerahkan membantu melalui pasukan Psychology Support Team.

"Di PPS pula, program pengisian kerohanian dan aktiviti komuniti seperti gotong-royong, solat berjemaah, dan sesi kaunseling akan diadakan dengan sokongan NGO MESRA dan badan-badan lain,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Kelantan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim tengkujuh ini. Untuk itu, kempen kesedaran seperti edaran poster dan papan iklan elektronik giat dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang langkah menghadapi banjir.

Post a Comment

0 Comments