Oleh: Norzana Razaly
JELI, 13 September – Kehebatan kreativiti dan semangat berpasukan menghadiahkan kemenangan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Jeli apabila dinobatkan johan Pesta Berakit Jeli 2025, dengan kutipan markah keseluruhan 284, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM1,000.
Kejayaan itu hanya dipisahkan satu markah daripada pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pergau Splash, yang muncul naib johan dengan 283 markah dan menerima hadiah wang tunai RM700.
Tempat ketiga pula dimenangi Majlis Daerah Bachok, membawa pulang hadiah RM500.
Antara yang mencuri perhatian ialah rekaan rakit TNB Pergau Splash yang menampilkan konsep kincir air memutarkan turbin, melambangkan penjanaan elektrik yang dekat dengan operasi syarikat tenaga nasional itu.
Menurut Pegawai Sokongan Perniagaan TNB Genco Sapawi Sulaiman, elemen tersebut turut diperkaya dengan sentuhan budaya tradisional Kelantan termasuk wau bulan dan gong, selain dihiasi Jalur Gemilang serta bendera Kelantan sebagai simbol patriotisme sempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia.
“Selain menonjolkan identiti TNB sebagai pengeluar tenaga, kami mahu mengangkat budaya negeri dan semangat kebangsaan. Proses menghias rakit sepanjang seminggu juga memperlihatkan nilai kebersamaan dalam kalangan pasukan dan masyarakat setempat,” katanya.
Tambahnya, pertandingan rakit berhias tersebut menjadi wadah menguji kreativiti organisasi untuk menyesuaikan reka bentuk dengan identiti masing-masing, di samping mengekalkan warisan sungai sebagai simbol keterikatan masyarakat dengan tradisi dan rekreasi air.



0 Comments