Ticker

6/recent/ticker-posts

Banjir: Tindakan tepat Speaker tangguh sidang lebih awal


KOTA BHARU: Persidangan Dewan Negeri Kelantan (DUN) ditangguh sehari lebih awal memandangkan banyak tempat di Kelantan dilanda banjir.

Tengah hari semalam Speaker Dewan Negeri Dato' Mohd Amar Abdullah membuat keputusan menangguhkan lebih awal sidang DUN berikutan banjir yang melanda di banyak tempat sejak semalam.

Sepatutnya sidang DUN berakhir hari ini berdassar jadual ditetapkan. Sidang DUN tersebut bermula Khamis lepas dengan pembentangan Belanjawan 2025.



Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud  merakamkan penghargaan kepada Speaker kerana mengambil keputusan tepat bagi memastikan semua pihak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada usaha membantu rakyat yang menghadapi musibah banjir.

Bagaimanapun katanya, persidangan DUN kali ini meluluskan tujuh Rang Undang-Undang (RUU) dengan sebulat suara untuk kesejahteraan dan kemakmuran negeri. 

“Ini merupakan hasil kerjasama erat semua pihak termasuk Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan pembangkang yang memainkan peranan penting dalam proses semak dan imbang. 

“Ucapan terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang memberi komitmen penuh dalam perbahasan dan perbincangan demi kepentingan rakyat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sejurus selepas sidang DUN ditangguhkan semalam Menteri Besar meninjau lokasi banjir di Bandar Baru Tunjong, manakala Mohd Amar melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara di DUN Panchor.

Menteri Besar juga berkata, dalam situasi genting sekarang semua wakil rakyat disaran mendekati dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing yang terkesan dengan banjir. 

Kata beliau sokongan moral, bantuan keperluan asas dan penyelarasan tindakan bersama agensi-agensi berkaitan begitu penting dalam meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.

Sementara itu Mohd Nassuruddin yang juga Adun Meranti membantu memindahkan mangsa banjir yang mengalami strok di Kampung Meranti. 



Penduduk terbabit dipindah ke dalam bot untuk dibawa ke PPS berdekatan.

Post a Comment

0 Comments