MB Kelantan kepalai perarakan 40 rakit berhias susuri Sungai Pergau


Oleh: Norzana Razaly

JELI, 14 September – Sungai Pergau bertukar menjadi gelanggang sukan air yang meriah apabila Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengetuai 40 rakit berhias dalam perarakan Pesta Berakit Jeli 2025.

Aksi beliau melempar pelampung keselamatan kepada mangsa lemas mencuri perhatian ribuan pengunjung yang membanjiri tebing sungai di Gunung Reng pada Sabtu.

Santai bersemutar kain lepas, Dato’ Mohd Nassuruddin kelihatan ceria berkenderaan air itu sejauh dua kilometer dari Pusat Rekreasi Dendong ke Taman Cahaya Ibadah, Gunung Reng.


Beliau ditemani Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor bersama timbalannya YB Zameri Mat Nawang. Turut mengiringi, ADUN Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil dan mantan Senator Dato’ Sr. Apandi Mohamad.

“Sungguh menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila dapat bersama rakyat dalam suasana penuh ceria dan kebersamaan,” ujar Menteri Besar sebaik menamatkan kayuhan rakit selama 1 jam.

Selain perarakan utama, pesta itu juga disemarakkan dengan pertandingan kayak yang menonjolkan keunikan Sungai Pergau sebagai pusat sukan air dan ekopelancongan negeri.


Dalam ucapannya, Menteri Besar menegaskan bahawa pesta berakit kini diangkat sebagai acara tahunan dalam Takwim Indahnya Kelantan 2025, sekali gus menobatkan Jeli sebagai destinasi ekopelancongan unggul Pantai Timur.

Sebagai simbolik perasmian, beliau bersama kepimpinan negeri menanam pokok Kayu Raja Kuning (cassia fistula) di tebing sungai.

Selain pertandingan rakit paling cantik yang dijuarai Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Jeli, pertandingan Video Kreatif Jeli Bandar Bahagia turut dianjurkan sempena pesta tersebut.



Bakat segar anak muda Amirul Akma Hasbullah dinobatkan juara melalui video bertajuk Jeli Bandar Paling Bahagia sekali gus membawa pulang hadiah RM1,000. Tempat kedua diraih Amirul Arif Rosli dengan hadiah RM700, manakala Muhd Faiz Hamzah menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM500.

Tambah menarik, pesta berkenaan juga dimeriahkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang turut berakit iaitu Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM).


Menurut presidennya, Farman Othman, persatuan itu mempunyai hampir 1,000 ahli berdaftar yang memiliki RV dari Perlis hingga Johor.

“Rombongan PCMM hadir bersama 65 kenderaan rekreasi (RV) membawa lebih kurang 200 penumpang dari seluruh negara. Kehadiran kami di Jeli untuk bersama-sama memeriahkan pesta dan menjadi sebahagian usaha mempromosikan ekopelancongan di Kelantan,” jelasnya.





Post a Comment

0 Comments