oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 17 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited mengorak langkah sebagai negeri hijau melalui pendekatan pembangunan lestari yang menekankan keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan rakyat.
Dalam usaha berterusan ke arah itu Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi mengurus sumber alam dengan bijaksana, termasuk memperkukuhkan kelestarian tanah dan menggalakkan amalan pertanian organik.
“Program ini bukan sahaja membantu menyedarkan semua masyarakat untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara biodiversiti di Kelantan.
"Kelantan yang kaya dengan sumber alam percaya pendekatan kelestarian ini mampu memperkukuhkan sektor ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang,” ujarnya ketika merasmikan Persidangan Asia Tenggara mengenai Keterjaminan Makanan dan Kelestarian (SEACOFSS) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa perubahan iklim yang kian mencabar turut memberi kesan besar kepada keterjaminan makanan di Malaysia dan Asia Tenggara.
"Fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir menjejaskan hasil pertanian, yang sekali gus menimbulkan ancaman kepada bekalan makanan negara.
"Selain itu, kenaikan paras laut semakin merisaukan kerana mengancam kawasan rendah seperti sawah padi yang menjadi asas sumber makanan di rantau ini," hurainya.
Dato' Tuan Mohd Saripudin juga menarik perhatian audien berkenaan kenaikan purata paras laut di Malaysia, iaitu 5 milimeter setahun antara tahun 2000 hingga 2050, membuktikan impak perubahan iklim terhadap kelestarian tanah pertanian dan kualiti sumber air.
Perubahan itu, katanya, turut mencetuskan cabaran baharu termasuk peningkatan penyakit tanaman dan serangan perosak, yang memberi kesan langsung kepada produktiviti hasil pertanian.
Program anjuran Yayasan Strategik Lestari (YSL) bersama Kerajaan Negeri Kelantan bertemakan "Keterjaminan Makanan yang Mampan dengan Penyelesaian Pintar Iklim" itu ditaja oleh PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS) dan EPIC Berhad.
SEACOFSS 2024 menampilkan 40 pembentang dari Malaysia, Indonesia, dan Thailand dalam usaha kolektif mencari solusi pintar berasaskan kelestarian untuk cabaran masa depan.
Turut hadir, mantan Menteri Alam Sekitar dan Air YB Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian bersama Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi.
0 Comments