Ticker

6/recent/ticker-posts

1069 GURU CEMERLANG DAPAT PENGHARGAAN KERAJAAN NEGERI

 

Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 16 November - Seramai 1069 guru yang menunjukkan prestasi baik dan cemerlang dan mencatatkan pencapaian tertinggi dalam mata pelajaran peperiksaan masing-masing menerima penghargaan dari kerajaan negeri pada Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan tahun 2023 yang berlangsung semalam. 

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penerima anugerah adalah dari guru-guru sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan guru sekolah swasta yang menyertai peperiksaan awam kelolaan Lembaga Peperiksaan YIK, di sekolah swasta dalam negeri, luar negeri dan luar negara.

“Tahun ini kita lihat ada berlaku peningkatan jumlah guru-guru yang cemerlang iaitu guru dari sekolah-sekolah YIK seramai 973 orang, manakala guru dari sekolah swasta 96 orang termasuk 10 orang guru cemerlang dari negara Kemboja.

"Guru-guru yang diraikan pada hari ini akan menjadi idola kepada guru lain, teruskan lagi usaha untuk meningkatkan pencapaian agar terus menjadi kebanggaan sekolah, YIK dan kerajaan negeri,” jelasnya semasa majlis perasmian di sebuah hotel di sini. 

Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau turut mencadangkan agar kaedah pengukuran dan penilaian guru cemerlang dinilai oleh satu panel penilai dengan menggunakan kaedah penilaian yang ditambah baik berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Katanya, GPMP akan menyediakan data kuantitatif yang boleh menjadi ukuran objektif bagi menilai pencapaian pelajar yang secara tidak langsung dapat menilai kecemerlangan pencapaian pelajar dengan lebih tepat bermula pada tahun hadapan.

“Pengukuran ini mengambil kira keputusan pelajar bermula dari gred A+ sehinggalah G bagi SPM ataupun dari Gred Mumtaz sehinggalah Rasib bagi SMU dan STAM.  Ia juga selari dengan kaedah pengukuran sekolah terbaik yang menggunakan Gred Purata Sekolah (GPS) berbanding penggunaan peratus sahaja,” tambahnya. 

Bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap guru-guru dan kakitangan YIK dengan penambahbaikan sentiasa diadakan dari masa ke masa, termasuklah mewujudkan dua skim perkhidmatan, iaitu tetap dan sandaran dan ianya telah dilaksanakan kecuali lantikan-lantikan guru baharu.

Hadir sama Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan) Mohd Kamaruddin Omar, Timbalan Pengarah YIk (Sekolah) Che Kamarudin Kamel Che Muhammad dan Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran) Sukeri Husin.



Post a Comment

0 Comments