Oleh Chan Manzil |
RAMAI pelancong
hairan, pasar-pasar di Kelantan dikuasai golongan wanita. Golongan terbabit menguasai
segenap ruang berniaga di pasar. Ada yang menjual makanan, sayur-sayuran, beras,
pakaian dan pelbagai lagi.
Perkara itu tidak pelik kerana ia sudah menjadi budaya di Kelantan sejak dahulu lagi. Maka mengekalkan potensi itu kerajaan negeri mewujudkan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) bagi sebagai nilai tambah membekalkan ilmu kemahiran kepada mereka.
PPWK ditubuhkan pada 1990-an di bawah kendalian Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan (U-KeKWa). Pusat sehenti itu berfungsi memperkasakan wanita melalui latihan kemahiran terutamanya bidang jahitan, pembuatan kek, biskut, kraftangan dan sebagainya.
Selepas berjaya melahirkan ramai wanita yang mampu berdikari, PPWK dinaiktaraf kerajaan negeri kepada Darul Niswah pada tahun 2005.
Sehingga kini Darul Niswah berjaya melahirkan seramai 6,826 pelatih dan 3,927 daripadanya telah bergraduasi.
Mereka menerima ilmu kemahiran dalam bidang jahitan, kraftangan, pemprosesan makanan melalui kursus kulinari yang merangkumi makanan tradisional, barat dan kuih-muih.
Hasil kemahiran itu ada wanita lepasan Darul Niswah meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM20,000 sebulan.
Lebih membanggakan, hasil kraftangan seperti pouch and tote bags berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Jepun, China, London, Dubai, Mesir dan Turki.
Darul Niswah turut menyokong kelestarian alam sekitar melalui program pengumpulan minyak masak terpakai dan Projek Dapur Hijau.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 10,540 kilogram minyak masak terpakai dikumpul oleh 45 Darul Niswah di seluruh Kelantan. Ia merupakan pencapaian yang membanggakan.
Pengarah U-KeKWa Ilvira Mohd Dasuki berkata, Darul Niswah turut terbabit memelihara alam sekitar melalui pelbagai program yang dilaksanakan.
“Darul Niswah bukan sekadar tempat belajar, sebaliknya ia adalah simbol kekuatan, lambang kebangkitan dan bukti wanita mampu mencipta masa depan yang gemilang,” ujarnya.
Maka tidak hairanlah Darul Niswah antara destinasi pilihan pelancong yang berkunjung ke Kelantan sempena Tahan Melawat Malaysia 2026.
Di mata pelancong, kreativiti, inovasi dan produk wanita Kelantan dikenali dengan jolokan ‘Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang’.




0 Comments