Syukuri nikmat keamanan sambut Aidilfitri – MB Kelantan

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 23 Mac – Umat Islam diseru agar mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi dalam menyambut Aidilfitri, terutama ketika masih terdapat saudara seagama di beberapa negara yang berdepan konflik dan penderitaan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, suasana aman yang dinikmati di negara ini membolehkan umat Islam menunaikan ibadah puasa dan menyambut hari raya dengan tenang bersama keluarga.

Menurutnya, keadaan tersebut berbeza dengan situasi di negara seperti Palestin dan Iran yang masih berdepan pelbagai cabaran dan ujian.

“Umat Islam perlu banyak bersyukur kerana kita dapat berpuasa dan beraya dalam suasana aman, sedangkan ada saudara kita yang diuji dalam keadaan yang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026M di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan, Bandar Baharu Tunjong, di sini, semalam.



Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 2,000 hadirin terdiri daripada anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa antara punca kelemahan umat Islam adalah disebabkan perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.

“Kenapa umat Islam tidak mempunyai kekuatan? Kerana kita tidak bersatu. Apabila berpecah, kita menjadi lemah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kesedaran untuk memperkukuhkan perpaduan dimulakan dari peringkat diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.


“Menjadi harapan semua pimpinan agar umat Islam bersatu di atas dasar Islam demi kekuatan ummah,” ujarnya.

Selain itu, Dato' Mohd Nassuruddin turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya sepanjang musim perayaan serta memulakan perjalanan dengan membaca doa menaiki kenderaan.

Post a Comment

0 Comments