Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 27 November – Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh kesejahteraan pesawah melalui pelbagai inisiatif strategik.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata kerjasama strategik oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemasin Semerak (IADA) terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pesawah melalui program gotong-royong, kursus pengurusan tanaman padi, serta penyediaan kemudahan seperti pinjaman peralatan dan jentera.
Katanya, program pengapuran dan perataan sawah juga telah diperluaskan dengan kerjasama Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, di samping penambahan bilangan pam bergerak, pam diesel, dan telaga tiub untuk menyokong sistem pengairan.
“Jabatan Pertanian Negeri Kelantan melaksanakan Program Pembangunan Industri Padi dengan peruntukan RM1.8 juta. Daripada jumlah ini, RM400,000 telah diperuntukkan untuk tahun 2024 bagi membantu 68 pesawah.
“Selain itu, RM1.1 juta diterima daripada Kerajaan Persekutuan untuk program pengapuran sawah di lima jajahan,” jelasnya sebagai respon kepada soalan ADN Kemuning, YB Ahmad Zakhran Mat Noor, dalam dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, tahun 2024, hari kelima, hari ini.
ADN Kemuning, YB Ahmad Zakhran Mat Noor |
Tambahnya, sehingga Oktober 2024, Tabung Bencana Tanaman Padi telah menyalurkan RM11.495 juta kepada pesawah yang terkesan akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir.
“Bantuan khusus juga disalurkan kepada pesawah yang terkesan akibat cuaca ekstrem, termasuk penambahbaikan kemudahan pengairan dan saliran. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara melalui pendekatan holistik dan kerjasama pelbagai agensi. Ini sejajar dengan aspirasi Kelantan untuk membangunkan sektor pertanian yang mampan dan berdaya saing," ujarnya.
Tidak terkecuali, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut menyumbang melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pengairan serta bantuan baja subsidi dan racun.
0 Comments