Ticker

6/recent/ticker-posts

Pasir Mas paling banyak jumlah mangsa banjir

 


KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan menunjukkan trend menaik apabila jumlah mangsa semakin bertambah hampir 10,000 orang yang ditempatkan di 91 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sehingga jam 3.14 petang tadi seramai 9,944 mangsa dari 3,026 keluarga di sembilan jajahan dipindahkan ke PPS.

Jajahan Pasir Mas paling tinggi jumlah mangsa banjir, di mana mereka ditempatkan di 17 PPS iaitu seramai 2,678 orang daripada 851 keluarga yang melibatkan tujuh mukim.

Diikuti Kuala Krai seramai 1,662 mangsa banjir yang ditempatkan di 16 PPS di tiga mukim.

Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kota Bharu masing-masing terdapat 14 PPS menempatkan mangsa banjir. Di Pasir Puteh (1,662 orang), Tanah Merah (815) dan Kota Bharu (1,570).

Jajahan Tumpat terdapat dua PPS dibuka awal pagi tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Battang dan SK Pengkalan Kubor 2.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, keadaan banjir di Kelantan kini menunjukkan trend menaik.

Katanya, keadaan banjir yang berlaku menyebabkan persidangan DUN berakhir hari ini memandangkan ramai wakil rakyat tidak dapat hadir kerana membantu rakyat terlibat dengan banjir.

“Di DUN Panchor sebanyak dua PPS dibuka iaitu di SK Tapang dan SK  Sering.

"Bagaimanapun kita berdoa semoga banjir besar tidak berlaku di negeri kita, insya-Allah," katanya selepas melawat PPS SK Tapang hari ini. Hadir sama isterinya Datin Hasmani Hussain.

Sementara itu MetMalaysia menjangka hujan akan turun sehingga Jumaat ini.


Keadaan cuaca di Kota Bharu petang ini agak gelap. Suasana jam 5 petang seperti jam 7 malam.

Post a Comment

0 Comments