Oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 25 November - Kerajaan Negeri Kelantan terus memacu usaha pembudayaan amal Islami dengan memperuntukkan RM181.70 juta dalam pelbagai inisiatif, termasuk pendidikan keagamaan dan pembangunan modal insan.
Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud memaklumkan pembudayaan amal Islami menjadi asas pentadbiran negeri dan diterapkan dalam semua portfolio, termasuk hiburan dan pelancongan, untuk memastikan nilai Islam terus menjadi tunjang dalam setiap aspek kehidupan rakyat.
Menurutnya, mulai Januari 2025, pengelola halaqat akan menerima insentif RM300 sebulan, manakala elaun guru Al-Quran dan Fardhu Ain dinaikkan daripada RM200 kepada RM270.
Dalam masa yang sama, pembayaran elaun imam kini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tanpa menjejaskan pelantikan yang tetap di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Di samping itu, program berfokus komuniti Orang Asli di Lojing turut mendapat perhatian. Aktiviti pendidikan agama, pengimarahan masjid, serta program sukan seperti bola sepak dan takraw, dirangka untuk mengeratkan hubungan dan membangun potensi mereka.
Pendekatan dakwah bil hal pula dilihat berkesan dalam menyantuni masyarakat ini dan membantu mereka menjauhi gejala negatif seperti ketagihan alkohol.
"Sejak Julai 2024, empat Mahkamah Tinggi Syariah telah ditubuhkan di Pasir Mas, Tanah Merah, dan Machang. Sistem digital e-Syariah juga diperkenalkan untuk mempermudah proses pendaftaran dan pendengaran kes. Cadangan mewujudkan Mahkamah Rayuan Utama Syariah turut diutarakan bagi memperluas peluang rayuan," ujarnya dalam sesi penggulungan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ketiga, hari ini.
Selanjutnya, seramai 15,500 graduan telah berjaya melalui program "Membina Generasi Solat" pada tahun 2024, di samping program lain seperti Membina Remaja Iman dan Kempen Anti-Dadah. Pendekatan ini menitikberat dakwah bil hal untuk melahirkan generasi yang bebas daripada gejala sosial.
YB Mohd Asri turut menghargai kerjasama strategik agensi seperti Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mufti, dan JAHEAIK dalam membangun serta memperkukuh hal ehwal Islam di Kelantan.
0 Comments