Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Ibu
bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan walaupun anak-anak sudah
melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) memandangkan
pengaruh sosial semakin membimbangkan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ibu bapa perlu sentiasa mengawal anak-anak walaupun mereka sudah melanjut pengajian di IPT.
Katanya ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa anak-anak berkawan dan sentiasa bertanya khabar bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan perkara tidak sihat.
“Masyarakat perlu mengambil iktibar terhadap kejadian tragis yang berlaku melibatkan pelajar IPT yang dilapor ditikam sehingga maut dalam keadaan menyayat hati.
“Isu tersebut memerlukan perhatian semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya di sini.
Baru-baru ini media melaporkan seorang pelajar kolej ditemui mati dengan 61 kesan tikaman, dipercayai dibunuh dalam kereta sebelum mayatnya diletakkan atas jalan di Kampung Simah, Ketereh.
Menurut laporan mangsa berusia 19 tahun berasal dari Perak itu sempat keluar makan dengan dua suspek yang ditahan secara berasingan ekoran kejadian tersebut.
Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, apa yang berlaku itu sangat menyentuh hati, sedih dan mengecewakan.
Beliau turut menasihatkan anak-anak muda tidak bergaul bebas kerana ia boleh meruntuhkan masyarakat.
“Semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, pihak pentadbir institusi pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan mencegah gejala tidak sihat daripada terus menular.
“Rakan-rakan yang mengetahui perkara tidak baik melibatkan rakan mereka perlu segera melaporkannya kepada pihak pentadbiran IPT bagi membolehkan tindakan awal diambil,” ujarnya.

0 Comments