Ticker

6/recent/ticker-posts

PENJUALAN BARANGAN SERAGAM PUNCA EKONOMI PENIAGA RANTAU PANJANG MEROSOT

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA DARULNAIM, 25 November – Persaingan sengit akibat penjualan barangan seragam dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan ekonomi peniaga di Pasar Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor memaklumkan isu tersebut terdedah selepas satu klip video daripada pempengaruh terkenal menunjukkan hampir keseluruhan peniaga di kawasan itu menawarkan produk yang sama.

“Video itu memaparkan situasi para peniaga di kedai-kedai di kawasan tersebut menjual barangan yang serupa, menyebabkan persaingan terlalu tinggi dan pembeli kurang berminat untuk membeli dari kedai lain setelah mendapat apa yang mereka perlukan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Kelantan pada Persidangan Kali Yang Ketiga bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Beliau menambah, hanya segelintir peniaga yang mencatat keuntungan lebih baik kerana menawarkan barangan yang berbeza daripada majoriti peniaga lain.

“Sekiranya pembeli sudah mendapatkan barang yang diinginkan dari satu kedai, mereka tidak akan membeli barang yang sama dari kedai lain. Ini menjelaskan mengapa hanya beberapa peniaga berjaya, manakala yang lain bergelut dengan pendapatan rendah,” katanya.

Selain Pasar Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, situasi serupa juga berlaku di Pasar Wakaf Che Yeh.

Bagi mengatasi isu tersebut, beliau memaklumkan bahawa pihaknya bersama Tourism Information Centre (TIC) merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti promosi di pasar-pasar utama Kelantan bagi menarik lebih ramai pengunjung.  Langkah itu diharap dapat meningkatkan daya saing peniaga tempatan serta memperbaiki taraf ekonomi mereka.

“Kerjasama strategik ini akan memberi ruang kepada peniaga untuk mempelbagaikan produk dan memastikan pelancong serta pembeli berasa tertarik dengan tawaran unik yang ada di Kelantan,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments