Ticker

6/recent/ticker-posts

KEPAKARAN PENGUCAPAN AWAM TERUS DIGILAP DALAM KALANGAN PELAPIS

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA DARULNAIM, 18 November – Kepentingan pembinaan generasi pelapis sebagai pakar dalam pelbagai bidang, khususnya dalam pengucapan awam dan syarahan terus menjadi antara agenda  pembangunan Islam dan dakwah di Kelantan. 

Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud menekankan hal tersebut dengan menyorot contoh terbaik dari sejarah Islam iaitu Harithah bin Zaid at-Tamimi, seorang pemidato unggul pada era Rasulullah SAW yang berjaya mempengaruhi masyarakat melalui kekuatan penyampaian dan integriti akhlak.

"Pengucapan awam merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai, terutamanya dalam masyarakat berbilang bangsa dan budaya. 

“Kita perlu melatih generasi muda dalam pengucapan awam agar mesej yang disampaikan adalah tepat, berkesan, dan mampu memberi impak kepada pendengar, " jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Pertandingan Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam 2024 yang diadakan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Program kelolaan Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu bertujuan mengenal pasti dan mengasah bakat pengucapan awam dalam kalangan generasi muda, terutama di institusi pendidikan agar mereka memiliki kebolehan berkomunikasi yang cemerlang.

Beliau turut menekankan bahawa asas latihan orator itu bermula di rumah, sebelum diperhalusi di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, pendidikan awal berkaitan kemahiran berkomunikasi perlu dimulakan dalam persekitaran keluarga untuk memastikan anak-anak mempunyai asas verbal yang kukuh dalam menyampaikan pendapat dan berdialog secara beradab.

"Kemahiran berpidato yang cemerlang bukan sahaja menambah nilai kepada individu, tetapi juga berperanan dalam membentuk pemimpin masa hadapan yang berkaliber. 

“Kepakaran dalam syarahan dan khutbah merupakan nilai tambah yang boleh mencetuskan gelombang perubahan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tokoh-tokoh nasional dan antarabangsa yang mempunyai kemahiran ini mampu membawa perubahan besar melalui pengucapan awam yang berkesan, mencipta fenomena yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

Beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta pertandingan syarahan yang terdiri daripada pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan IPT, kerana berjaya menonjolkan potensi dalam bidang syarahan. 

Beliau berharap agar pertandingan itu juga menjadi platform utama untuk melahirkan lebih ramai pendebat dan pemidato pelapis yang berwibawa, sekali gus membawa Kelantan terus dikenali dengan “wow factor” dalam dunia syarahan dan pengucapan awam.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Hilmi Abdullah dan para Ahli Dewan Negeri. 


Post a Comment

0 Comments