Ticker

6/recent/ticker-posts

PKB-MAB SEDIAKAN RUANG MENUNGGU UNTUK KESELESAAN PENUMPANG DI LTSIP

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 19 November - Permodalan Kelantan Berhad (PKB), anak syarikat Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) dalam menyediakan ruang menunggu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dato' Sr. Zamri Ismail, penyediaan dua set sofa di ruang menunggu di LTSIP adalah untuk memberi kemudahan yang kondusif kepada penumpang.

"Penyediaan dua set sofa ruang menunggu Ar-Rahn adalah untuk keselesaan para penumpang di LTSIP dari dalam dan luar Negeri Kelantan. Terima kasih diucapkan kepada pihak LTSIP khususnya kepada pengurusnya, Suhaimi Abdul Sani, kerana meluluskan permohonan pihak PKB untuk menaja penyediaan kerusi yang selesa untuk ruang menunggu tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Ruang Menunggu Ar-Rahn, di LTSIP, pada Isnin.

Ruang menunggu Ar-Rahn itu terletak di laluan utama menuju ke pintu tujuh dan lapan yang merupakan pintu pelepasan pesawat Air Asia. Inisiatif tersebut diyakini memberi impak yang positif dalam mempromosi Ar-Rahn selaku pelopor pajak gadai Islam dalam industri.

"Diharap kerjasama seperti ini sentiasa berterusan sebagai wadah kebersamaan untuk memartabatkan dan memacu fasiliti Negeri Kelantan ke tahap yang lebih baik, selari dengan pembinaan LTSIP yang bertaraf antarabangsa.

"Besarlah harapan pihak kami di PKINK agar pihak MAB-LTSIP memberi ruang lagi kepada Kumpulan PKINK untuk menaja apa-apa program apabila LTSIP fasa seterusnya siap nanti," ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani pula memaklumkan penyediaan ruang menunggu Ar-Rahn adalah permulaan kerjasama pihak MAB-LTSIP dengan PKB.

"Saya harap selepas ini ada lagi inisiatif- inisiatif lain yang difikirkan boleh menambah lagi keselesaan kepada para penumpang, supaya apabila mereka datang ke Kelantan mereka rasa seronok," ucapnya sebagai alu-aluan dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ahmad Nazri Ismail, Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein, Pengurusan PKINK dan PKB serta Pengurusan dan kakitangan LTSIP.



Post a Comment

0 Comments