Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 9 November- Penganjuran Festival Gendang Antarabangsa Kelantan (PALU FEST) 2024 menonjolkan keunikan Kelantan apabila melibatkan semua etnik dalam paluan gendang.
Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata, gabungan paluan gendang daripada pelbagai etnik di Kelantan bukan sahaja menonjolkan keunikan negeri Kelantan bahkan menyerlahkan kepelbagaian budaya.
"PALU FEST 2024 ini menggabungkan paluan gendang daripada kaum Melayu, Cina, India dan Siam.
Semua kebudayaan ini kita raikan dan tonjolkan kepada masyarakat melalui penganjuran festival ini.
"Alhamdulillah, dalam masa yang sama, apa yang kita boleh banggakan dengan negeri Kelantan adalah kita boleh tunjukkan kepada semua orang di dalam dan luar negara tentang kesepaduan dan perpaduan yang ada di Kelantan".
Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, berucap merasmikan Festival Gendang Antarabangsa Kelantan 2024, di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sangat menyokong serta memartabatkan seni dan budaya termasuk seni gendang yang merupakan sebahagian daripada tradisi dan budaya Kelantan.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran festival ini adalah sebagai satu medan perhimpunan aktiviti muzik daripada pelbagai peralatan muzik pergendangan tradisional yang berasaskan paluan daripada pelbagai kaum di seluruh Kelantan.
"Persembahan paluan gendang dalam festival ini merupakan persembahan simfoni muzik pergendangan yang dipersembahkan secara gabungan irama muzik pergendangan yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
"Dengan kepelbagaian persembahan daripada etnik majmuk seperti Melayu, Cina, India Siam dan lain-lain, menjadikan festival ini sebagai satu jalinan budaya yang dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Kelantan," katanya ketika memberi ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian tersebut.
PALU FEST 2024 anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) yang berlangsung dari 7 hingga 10 November 2024 menampilkan 12 pasukan gendang termasuk dari Thailand dan Indonesia, melibatkan 250 peserta.
Antaranya ialah pasukan rebana kercing dari Kampung Laut Tumpat, pasukan rebana ubi dan kertuk kelapa dari kampung Budi, Bachok, pasukan rebana mangkok dari Tanah Merah, gedombak siam, pasukan pergendangan India, pasukan gendang Bukit Tinggi Sumatera Barat Indonesia dan pasukan gendang menora dari Wilayah Yala Thailand.
Hadir sama dalam perasmian ialah Setiausaha (Dasar Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Wan Azilawati Wan Mahmood, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad, Ahli Dewan Negeri Kelantan dan ketua jabatan negeri dan persekutuan.
0 Comments