Oleh: Norzana Razaly
AMMAN, 8 Nov - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua universiti terkemuka di Jordan, iaitu World Islamic Sciences and Education University (WISE) dan Applied Science University (ASU).
Majlis
menandatangani perjanjian bersejarah itu diwakili oleh Exco Pendidikan,
Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital, dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan
Hamat.
Manakala WISE pula diwakili Rektor Prof. Dr. Jaafar Al Magribi Al Fanatsah dan Prof. Dr. Samiha Jarrah menandatangani perjanjian bagi pihak universitinya.
Menurut Dato' Wan Roslan, WISE merupakan universiti berteraskan Islam yang menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk seni, sains sosial, dan sains perubatan.
"WISE menampung hampir 8,000 pelajar, termasuk 800 pelajar antarabangsa, menjadikannya destinasi pilihan bagi pelajar yang ingin memperdalam ilmu agama dengan persekitaran pendidikan yang moden dan komprehensif.
"Sementara ASU pula dikenali sebagai institusi berprestij yang menekankan inovasi dalam pelbagai program akademik, terutama dalam bidang pengajian teknologi dan kejuruteraan," jelasnya.
Mengulas
lanjut, beliau menjelaskan perjanjian itu dijangka membawa manfaat jangka
panjang dalam memperkasa pelajar YIK dengan kelayakan akademik yang diiktiraf
antarabangsa, sekali gus melahirkan generasi pendakwah yang berketerampilan.
MoU yang berlangsung pada Khamis itu disaksikan Ahli Lembaga YAKIN, Dato' Abdullah Yaakob, Timbalan Pengarah Kenaziran YIK, Sukeri Hussin serta Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof. Madya Dr. Mohd Radzuwan Ab Rashid.
Turut mengiringi, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Che Khairuleffendi Che Kamaruzaman dan Penolong Pengarah Pinjaman, Biasiswa dan Bantuan YAKIN, Rosfanizam Din.
Dato' Wan Roslan juga menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha strategik untuk memperluaskan peluang pendidikan bagi pelajar Kelantan di luar negara, khususnya dalam pengajian Islam yang berkualiti tinggi di WISE dan ASU.
"Langkah ini membuka laluan kepada pelajar YIK untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang pengajian Islam dan Qiraat di kedua-dua institusi tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kunjungan
singkatnya bersama delegasi Kelantan ke Jordan, beliau mengambil peluang
mengadakan sesi ramah mesra bersama pelajar Kelantan di sana.
Beliau sempat menyuntik semangat kepada siswa-siswi agar mereka menjadi pewaris legasi dakwah apabila kembali ke tanah air.
"Kita
harap pelajar Kelantan yang menimba ilmu di bumi anbia’ ini akan pulang dan
menyumbang kepada masyarakat, membawa obor dakwah dan semangat ilmu yang
tinggi," ujarnya.
0 Comments