Ticker

6/recent/ticker-posts

PELABUR INDUSTRI PELANCONGAN DIPELAWA MELABUR DI KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 24 November – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor mempelawa pemain industri perhotelan untuk memperkukuhkan penyediaan perkhidmatan penginapan berkualiti di negeri ini.

Beliau mencadangkan Hotel Seri Malaysia sebagai contoh untuk membuat kajian potensi pelaburan dalam sektor perhotelan di negeri ini, yang diharapkan dapat memberi kesan positif terhadap perkembangan industri pelancongan Kelantan.

Menurutnya, hal tersebut sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan mutu infrastruktur serta menambah jumlah kemudahan penginapan, selaras dengan sasaran menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan global.

“Kami percaya bahawa pelaburan dalam sektor pelancongan Kelantan, khususnya dalam pembangunan penginapan dan kemudahan acara, akan memberi impak besar kepada ekonomi negeri dan meningkatkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang menarik,” katanya dalam Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari kedua, hari ini.

Selain itu, beliau turut menegaskan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai penganjur acara bertaraf global, terutama dengan selesainya projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kepada pengkalan udara antarabangsa.

Post a Comment

0 Comments