KOTA BHARU: Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang dilulus kerajaan pusat pada Mac 2023 menerusi Rolling Plan Tiga dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM630 juta dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024 dan siap pada 2027.
Bagaimanapun projek tersebut belum dilaksanakan sehingga sekarang selepas Putrajaya dikuasai kerajaan Madani.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek tersebut dilulus kerajaan PN.
“Namun sehingga sekarang projek itu hanya setakat itu lagi belum bergerak. Projek itu bersama dengan loji rawatan air.
“Kerajaan negeri hanya memohon, namun kuasa di tangan orang lain. Apa pun kita tetap memantau cadangan projek terbabit,” katanya menjawab soalan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada sidang DUN hari ini.
Menurutnya juga Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam proses menyiapkan 13 lagi Loji Rawatan Air (LRA) yang akan menjadikan keseluruhan 54 menjelang beberapa tahun lagi.
Kata beliau juga masalah bekalan air bersih di Kelantan dijangka selesai pada tahun 2027 dan LRA baharu akan beroperasi pada 2028.
Dr Izani juga berkata, kerajaan negeri memohon peruntukan untuk projek menukar paip daripada paip simen asbestos bagi mengurangkan kadar kehilangan air bawah tanah (NRW).
Kataya, tahun ini sekitar 100 km paip lama ditukar dengan paip baharu.
“Tahun ini kita berjaya turunkan sebanyak 1 peratus NRW. Dengan penukaran paip baru kita dapat mengurangkan kadar kehilangan air.
“Peruntukan untuk membaiki loji air dan menukar paip kerajaan negeri memohon dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau kelulusan projek dan pelantikan kontraktor ditentukan pihak terbabit dan bukan di bawah bidang kuasa AKSB.
Menurutnya juga insya-Allah AKSB mampu membayar semula pinjaman bagi melaksanakan projek terbabit.
0 Comments