oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 18 November – Persidangan Asia Tenggara Mengenai Keterjaminan Makanan dan Kelestarian (SEACOFFS) 2024 yang berlangsung semalam menutup program dengan Sidang Meja Bulat.
Sesi tersebut memfokus keperluan memperkukuh infrastruktur pertanian, pengaplikasian teknologi terkini, serta pengembangan rangkaian nilai yang lebih mantap bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Kelantan bersedia untuk mengadaptasi idea dan hasil kajian yang dikongsikan sepanjang persidangan sebagai panduan dalam memajukan sektor pertanian negeri ke arah lebih berdaya saing dan mampan.
Katanya, persidangan yang memfokuskan keperluan mengukuhkan infrastruktur pertanian, penerapan teknologi pintar, amalan pertanian lestari, dan pemantapan rantai nilai pertanian yang kompetitif di peringkat serantau.
"Cadangan-cadangan strategik yang telah diketengahkan termasuklah peningkatan dana khusus, akses kepada teknologi moden, serta strategi mitigasi perubahan iklim.
“Penghargaan ditujukan kepada semua penyelidik dan pihak yang bertungkus lumus dalam penganjuran SEACOFFS kali ini.
"Usaha mereka sangat bermakna bagi perkembangan sektor pertanian dan keselamatan makanan negara,” katanya dalam ucapan penutup persidangan pada Ahad.
Dato' Tuan Mohd Saripudin juga menjelaskan semua langkah itu diyakini akan memperkukuhkan sektor pertanian Kelantan dalam menghadapi cabaran iklim dan ekonomi global.
Selain itu, katanya lagi, kerjasama serantau turut diberi keutamaan dengan sokongan kepada usahawan tani dan jaminan pasaran bagi hasil pertanian tempatan.
"Kerjasama erat antara sektor kerajaan, swasta, dan komuniti setempat dilihat sebagai kunci untuk memastikan kemajuan pertanian Kelantan, menjadikannya lebih berdaya saing dan mampan," ujarnya.
Beliau juga menyatakan kesediaan pihaknya untuk menerima pakai idea dan perkongsian yang disumbangkan sepanjang persidangan ini demi kemajuan pertanian Kelantan.
Sidang meja bulat menutup tirai penganjuran SEACOFFS 2024, dengan komitmen yang disuarakan oleh semua pihak untuk meneruskan langkah ke hadapan dalam memajukan industri pertanian negeri Kelantan.
Slot itu diserikan dengan acara penyampaian Anugerah Pembentangan Kertas Terbaik yang diraih oleh Dr. Mohamed Yusuf Mohamed Nazir dengan pembentangan bertema "Food Science and Technology," yang mengupas kaedah mampan dan efisien bagi penghasilan Asid Dokosaheksaenoik (DHA) menggunakan ekstrak cecair nanas melalui spesies Aurantiochytrium sp. SW1.
Pembentangan tersebut mencerminkan inovasi yang dapat membantu memenuhi keperluan pemakanan dan keselamatan makanan yang lebih lestari di rantau ini.
Anugerah yang sama juga disampaikan kepada Dr. Nur Ibrahim melalui perkongsian ilmu dan pengalaman bertajuk "Struggles and Solutions: Implementing Permanent Food Production Park in Selangor."
Beliau menekankan langkah dan cabaran dalam merealisasikan Taman Pengeluaran Makanan Kekal sebagai pendekatan praktikal bagi memastikan keselamatan bekalan makanan.
Seterusnya, bertemakan Climate Change and Energy, Muhamad Ariff Amir Hamzah mengetengahkan inovasi bahan baharu melalui kajiannya bertajuk "Development of Biomass Based Graphene Oxide as Potential Materials for Application in Direct Methanol Fuel Cells."
Kajiannya membuka ruang bagi teknologi hijau melalui penggunaan grafena oksida berasaskan biojisim.
Sementara itu, Siti Nur Aida Damanhuri yang berkongsi transformasi biosolid oleh Indah Water Konsortium (IWK) ke arah kelestarian alam sekitar melalui pembentangannya "Towards Environmental Sustainability: Transformation of Indah Water Konsortium (IWK) Biosolids" turut menerima anugerah penyampai kertas kerja terbaik SEACOFFS 2024.
0 Comments