KOTA BHARU: Kenaikan secara berterusan harga diesel dijangka menjejaskan keselamatan makanan negara dan ia secara tidak langsung meningkat kebergantungan kepada import.
Kesannya meningkatkan kos penanaman padi dan mengancam kelangsungan pengeluaran makanan domestik. Peningkatan melibatkan kos membajak, pam air, penuaian dan pengangkutan hasil.
Malah, menurut Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), petani mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap peningkatan kos membajak dan menuai lebih 50 peratus.
Selain itu kos baja dan racun meningkat sehingga 65 peratus akan memberi risiko kelewatan musim penanaman, pengurangan keluasan tanaman dan kemerosotan pengeluaran padi tempatan.
Sedangkan sebelum ini kerajaan menyasarkan tahap sara diri beras negara mencecah angka 75 peratus pada 2025 daripada 62.6 peratus pada 2022.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika diperhatikan lebih teliti, angka itu sebenarnya menurun kepada 56.2 peratus pada 2023 dan 52.9 peratus (2024).
Katanya, ia dijangka terus menurun pada tahun 2025 dan 2026.
“Kebimbangan peningkatan kos bukan sahaja disuarakan pesawah, malah turut dikongsi pelbagai sektor, termasuk logistik, pengangkutan, pembinaan, perladangan, perikanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Perikatan Nasional memandang serius peningkatan kos operasi sektor terbabit dan ia dijangka memberi kesan rantaian harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat,” katanya pada kenyataan malam tadi.
Baru-baru ini Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia memberi amaran akan menghentikan penanaman padi musim ini sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan segera menangani kenaikan kos diesel.
Pengerusinya Abdul Rashid Yob dilapor berkata, kenaikan harga diesel sejak sebulan lalu menyebabkan kos pembajakan dan penuaian meningkat mendadak menjejaskan pesawah meneruskan penanaman padi.
Sebelum itu lebih 3,000 pesawah di Kelantan kemungkinan tidak dapat menanam padi bagi musim Jun depan berikutan kos meningkat hingga 61 peratus.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail memberitahu kenaikan itu berlaku susulan harga diesel meningkat mendadak.
Langkah segera
Takiyuddin berkata, kerajaan perlu melaksanakan langkah segera dan konkrit untuk melindungi sektor kritikal, khususnya pengeluaran makanan dan rantaian bekalan domestik sebelum menjadi lebih serius.
Kata beliau kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor kritikal seperti pertanian, logistik dan pengeluaran makanan, memperluas bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil.
“Selain itu menyediakan sokongan kos input bagi mengelakkan gangguan musim penanaman, menimbangkan potongan cukai kepada industri yang terkesan, selain mengadakan libat urus dengan industri.
“Kegagalan bertindak berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan harga makanan, kesejahteraan hidup rakyat serta ketahanan ekonomi negara,” ujarnya.
Menurutnya juga situasi yang berlaku sekarang memberi tekanan kos sara hidup yang berterusan, termasuk kesan pelarasan tarif elektrik, kenaikan kos bahan mentah lain serta peningkatan caj perkhidmatan.
Katanya, kenaikan harga gas juga akan memburukkan keadaan kerana ia akan meningkatkan kos penjanaan elektrik, pengeluaran industri serta sektor pembuatan.
“Harga gas industri meningkat lebih 20 peratus bagi tong 15 kg daripada RM70 kepada RM84 dan tong 50 kg naik lebih 22 peratus iaitu RM220 kepada RM270.
“Perkembangan global tidak boleh terus dijadikan alasan untuk lewat bertindak,” tambah beliau.



0 Comments