KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menggerakkan lori-lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan kritikal ekoran paip air mentah bersaiz 700 mm di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah pecah.
Menurut AKSB bekalan air akan dihantar segera ke hospital, klinik kesihatan, pusat dialisis dan lain-lain memadangkan LRA tersebut dihentikan operasi buat sementara.
Paip air mentah pecah susulan berlaku mendapan dan pergerakan tanah di kawasan loji akibat hujan lebat secara berterusan.
“Hujan lebat yang berterusan menyebabkan berlaku pergerakan tanah serta mendapan di kawasan LRA Bukit Remah.
"Berikutan itu paip air mentah (mild steel) bersaiz 700 mm pecah pagi tadi menyebabkan LRA Bukit Remah terpaksa dihenti tugas serta merta," katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya kesan henti tugas LRA Bukit Remah menyebabkan 13,766 akaun pengguna terkesan dengan gangguan bekalan air tersebut.
Antara kawasan yang terlibat bandar Tanah Merah, Hospital Tanah Merah, Kampung Sat, Hulu dan Hilir, Kampung Tepi Sungai, Kota Harmoni, Pasir Panji, Kenerak, Bechah Laut, Kelewek, Batu Hitam, Manal.
Turut terlibat Jalan Jedok, Jalan Wan Ahmad, Kampung Banggol Kemunting, Kampung Padang Siam, Bukit Gading, Kenerak, Gual Ipoh dan Kusial.
Menurut kenyataan itu juga AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777.
0 Comments