Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 20 November 2024 – Kerajaan Kelantan melalui Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) melaksanakan pelbagai usaha strategik untuk mengatasi masalah bekalan air kotor dan berkelodak di kawasan Machang.
Kandungan baki iron dan manganese yang tinggi telah mencetuskan pengumpulan dalam tangki simpanan dan paip agihan.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dato’ Dr. Izani Husin memaklumkan, usaha berterusan sedang dilaksanakan, termasuk pemasangan kabel di telaga jejari Pasir Bandar bernilai RM2.55 juta, yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2024.
Selain itu, katanya, sistem Proses LRA Merbau Chondong akan dinaik taraf kepada 70 JLH menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM11 juta, dengan tarikh siap pada September 2026.
“Kapasiti reka bentuk Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong kini melebihi tahap operasi asal, iaitu dari 45 juta liter sehari (JLH) kepada 62 JLH, menyebabkan proses rawatan air tidak lengkap sepenuhnya,” katanya dalam Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
“Tambahan pula, AKSB turut merancang pembinaan loji baharu, iaitu LRA Merbau Chondong 2 berkapasiti 50 JLH dengan kos RM120 juta yang dibiayai oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah OP4. Projek ini dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk memastikan bekalan air berkualiti kepada penduduk.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong) YB Azhar Salleh berkaitan langkah AKSB mengatasi isu tersebut.
0 Comments