KUALA KRAI: Fenomena ‘Train To Dabong’ yang mula diperkenalkan Kereta Api Tanah Melayu Berhad pada tahun 2020 merubah kehidupan penduduk tempatan.
Sebelum ini mereka hanya bekerja di kebun sebagai penoreh, menanam sayur dan mencari ikan di sungai.
Namun, sekarang ramai penduduk melibatkan diri dengan perniagaan termasuk berniaga mee udang, menghasil kraftangan, menjual pisang goreng, mengusaha rumah tumpangan, chalet dan pemandu pelancong.
Dabong terletak kira-kira 149 kilometer dari Kota Bharu sekarang popular sebagai Eko-Pelancongan Lestari pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Seorang penduduk tempatan Che Muhammad Che Abdullah, 55 berkata, beliau membawa pelancong dengan kenderaan darat dan bot bagi meninjau banyak lokasi menarik di Dabong.
Che Muhammad |
Katanya, ada pelancong yang ingin melihat pemandangan menarik melalui jalan darat dan menyusuri sungai.
“Saya bersama pemandu pelancong lain menanti kedatangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan tren pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Jumaat dan Sabtu hari yang paling ramai, Ahad pula pengunjung luar Kelantan membanjiri Dabong," ujarnya di sini.
Che Muhammad juga berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai penoreh getah, namun sekarang bertukar kepada pemandu pelancong.
“Pendapatan yang diperolehi tidak menentu antara RM100 hingga RM200 sehari. Saya menunggu kehadiran pelancong di Stesen Kereta Api Dabong bermula jam 7.30 pagi,” katanya.
Manakala rakannya Zulhilmi Hashim, 34, juga berkhidmat sebagai pemandu pelancong menyediakan pakej khusus melibatkan Gua Ikan, Gunung Stong, Pipe Resort, Sungai Kenerong dan Lata Kertas.
0 Comments