Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 29 Disember– Prihatin terhadap kesan banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menghulurkan sumbangan RM100,000 dari dana zakatnya untuk membantu 150 keluarga asnaf dan lima masjid yang terjejas akibat bencana tersebut.
Misi bantuan itu berlangsung di Masjid Mukim Siram, Meranti pada Jumaat dengan penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Bank Islam atas keprihatinan dan komitmen mereka dalam membantu masyarakat.
“Kami berdoa agar Bank Islam terus maju dan sentiasa komited dalam memberi manfaat kepada rakyat, khususnya ketika berdepan musibah seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bank Islam Negeri Kelantan Mohd Supardi Yatim berkata sumbangan yang disalurkan itu merangkumi barangan makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM200 untuk setiap 150 keluarga terjejas.
Manakala dana zakat berjumlah RM11,000 diperuntukkan kepada lima masjid terkesan di jajahan Pasir Mas, Bachok, Tumpat, Kuala Krai dan Machang.
"Semoga usaha murni ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka bangkit semula selepas musibah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perhubungan Pelanggan Negeri Wan Rusmayaty Wan Hussin dan Pengurus Bank Islam Pasir Mas Hamidi Yahya.
0 Comments