Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 30 Disember- Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) akan menjadikan Kejohanan Bola Sepak Pantai "Monsoon Cup Pasir Puteh" sebagai acara tahunan, kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor.
Menurut beliau, kejohanan itu boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan untuk menarik pelancong datang ke Kelantan dalam musim tengkujuh.
"Hari ini saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MDPP dan TIC kerana telah mengambil Inisiatif dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Pantai Monsoon Cup Pasir Puteh 2024 sebagai satu daya tarikan pelancong untuk datang ke Kelantan pada musim tengkujuh.
"Dalam menghargai inisiatif yang baik ini, saya pertimbangkan untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan. Ia akan dimasukan dalam kalendar "event" pelancongan Negeri Kelantan setiap tahun".
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian hadiah Kejohanan Bola Sepak Pantai Monsoon Cup Pasir Puteh 2024 di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh pada Ahad.
Untuk rekod, kejohanan yang berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember itu telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 60 pasukan dari negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah sebanyak RM3000, piala dan medal kepada johan, RM1500 dan medal kepada naib johan dan RM500 berserta medal kepada tempat ketiga bersama.
Johan disandang oleh pasukan Otai Pulut Ikan Bakar (OPIB) dari Besut Terengganu, yang menewaskan pasukan Malika yang juga dari Besut dalam perlawanan akhir dengan keputusan dua gol berbalas satu (2-1).
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YB Datuk Kamarudin Md Nor.
Tambah YB Datuk Kamarudin, pihaknya juga akan menganjurkan pesta makanan musim tengkujuh pada Januari nanti.
"Makanan musim tengkujuh ini biasanya tidak ada pada musim lain. Contohnya putu halba hanya ada pada musim tengkujuh atau musim hujan sahaja. Apabila orang tengok ada jual putu halba, mereka akan kaitkan dengan musim tengkujuh atau musim hujan.
"Pihak TIC dan Majlis Daerah Pasir Mas sedang membuat persiapan untuk penganjuran pesta makanan tersebut," ujarnya.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh Mohd Roshdi Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsyam Sulaiman, ADN Limbongan YB Nor Asilah Md Zin, ADN Gaal YB Rodzi Jaafar, Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan) Mohd Zaki Ismail, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Kelantan Mohd Aidil Afizei Daud, Ketua Whip Ahli Majlis MDPP Wan Hasan Wan Ibrahim dan Setiausaha MDPP Zulkarnean Isa.
0 Comments