RANTAU PANJANG: Hari ini calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu di semua pusat peperiksaan di seluruh negara biar pun banyak negeri dilanda banjir.
Semua calon SPM di lokasi banjir dipindahkan ke asrama menerusi Op Payung dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan.
Malah, diviral pelajar beratur dalam banjir untuk menaiki trak tentera untuk menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang.
Pelajar-pelajar menggalas beg di bahu dengan diawasi anggota tentera dan guru bagi memastikan mereka selamat sebelum diangkut ke asrama sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata, semua calon termasuk yang terperangkap dengan banjir diselamatkan pelbagai agensi tanpa ada tercicir dan mereka ditempatkan di asrama.
Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat antara lokasi yang terjejas akibat banjir yang melanda Kelantan sejak Khamis lepas.
Bagaimanapun banjir mulai surut semalam di mana sebahagian besar mangsa banjir sudah kembali ke rumah mereka.
Namun ada kampung di Pasir Mas termasuk Kampung Belukar, Kubang Bemban masih digelangi banjir sehingga petang semalam.
Menurut penduduk banjir sukar surut disebabkan terhalang oleh tebing tali air yang menyukarkan aliran banjir memasuki semula saliran.
“Penduduk terpaksa membelah tebing tali air ketika paras banjir memuncak Jumaat lepas bagi membolehkan air mengalir terus ke dalam saliran.
“Pembinaan culvert sebelum ini tidak mencukupi bagi membolehkan air dari kampung mengalir terus ke tali air,” kata seorang penduduk.
0 Comments