KUALA KRAI, 8 Disember – Setakat hari ini, sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi, satu di Rantau Panjang dan satu di Tumpat.
Seramai 43 mangsa melibatkan 12 keluarga menginap di PPS Rantau Panjang, manakala di Tumpat pula terdapat 68 mangsa merangkumi 36 keluarga terpaksa menetap di situ memandangkan paras air belum surut sepenuhnya dan penduduk terjejas banjir sedang giat membersihkan kediaman masing-masing.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan YB Rohani Ibrahim memaklumkan data tersebut dalam sesi libat urus menyantuni petugas di Pusat Khidmat DUN Mengkebang dan Balai Bomba Kuala Krai, hari ini.
Beliau turut memaklumkan hanya satu PPS dibuka di jajahan Gua Musang, sementara daerah lain terpaksa menampung jumlah mangsa yang lebih besar.
Menurutnya lagi, banjir gelombang pertama yang bermula pada 22 November lalu secara berperingkat mencapai kemuncaknya pada 27 November. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 316 PPS telah diaktifkan, melibatkan keseluruhan 114,730 mangsa daripada 35,444 keluarga.
“Walaupun jumlah yang berpindah ke PPS mencatat angka besar, bilangan mangsa yang memilih untuk tidak berpindah adalah lebih tinggi. Hujan lebat berterusan ditambah dengan fenomena air pasang besar telah memburukkan keadaan, mengakibatkan banjir serentak di sembilan jajahan Kelantan, termasuk kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, YB Rohani merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu penduduk terjejas, termasuk pimpinan di peringkat negeri dan persekutuan, agensi kebajikan, agensi keselamatan, pengurusan sekolah dan masjid, sukarelawan, NGO, NGI, pempengaruh, syarikat perniagaan, dan individu perseorangan.
“Tenaga, barangan keperluan, peralatan, wang ringgit, mahupun doa yang dipanjatkan tanpa putus sangat membantu dalam menghadapi ujian ini. Saya ingin menekankan bahawa ramai petugas kita juga adalah mangsa bencana, namun mereka tetap melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa banyak PPS ad-hoc yang tidak digazetkan terpaksa dibuka secara mendadak untuk menampung keperluan mendesak. Walaupun terdapat kekalutan pada peringkat awal, kerjasama erat antara petugas, penghuni PPS, dan semua pihak yang membantu telah memastikan pengurusan PPS berjalan lancar.
“Pengurusan PPS melibatkan ratusan hingga ribuan mangsa adalah tugas yang sangat mencabar. Hanya mereka yang berada di lapangan benar-benar memahami situasi ini. Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu, bukan menyebarkan berita tidak sahih atau memberikan persepsi buruk yang hanya memburukkan keadaan,” ujarnya.
YB Rohani menyeru masyarakat untuk tidak menangguk di air keruh dengan menyebarkan maklumat tidak benar. Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak untuk berganding bahu membantu mangsa dan petugas yang telah mengorbankan masa serta tenaga tanpa henti.
“Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan dan sokongan untuk memulihkan kembali keadaan,” katanya.
0 Comments