KOTA BHARU: Pelbagai pihak bimbang ura-ura kerajaan Madani mahu menambah lagi kawasan pilihan raya di negara ini.
Pensyarah Psiokososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, sudah memadai nisbah 222 ahli dewan mewakili penduduk mengikut nisbah penduduk dan keluasan kawasan pilihan raya.
Katanya kerajaan tidak perlu menyara lebih ramai ahli politik dengan dana awam.
“Oleh itu perlebaran kawasan pilihan raya perlu signifikan dengan kos dana awam untuk dimanfaatkan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya di sini.
Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan mendengar rintihan orang ramai supaya tidak ada tambahan kawasan pilihan raya.
Menurutnya jumlah 222 ahli Dewan yang ada sekarang sudah memadai untuk membangkit masalah rakyat di Dewan Rakyat.
“Sebenarnya jika diambil kira ahli yang aktif, 100 orang sudah cukup.
Saya turut mendesak kerajaan supaya tidak tambah kawasan pilihan raya,” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat hendaklah datang daripada kerajaan.
Menurutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara berkenaan.
Pada November lepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) memutuskan Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak bagi meneliti tuntutan pertambahan Ahli Dewan Rakyat dua negeri terbabit.
0 Comments