Ticker

6/recent/ticker-posts

KBC, JVK LATIH PETANI HASILKAN SILAJ MAKANAN TERNAKAN

Oleh: Asri Hamat 

PASIR PUTEH, 17 Disember- Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kelantan melatih peserta bengkel Agri Bio Class (ABC) menghasilkan  silaj makanan ternakan.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada orang awam, belia dan penternak menghadiri ABC yang dirasmikan oleh Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, di Kelantan BioArt Centre, Jeram Pasu pada Isnin.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata bengkel tersebut penting bagi petani untuk mendalami kaedah menghasilkan silaj sebagai alternatif makanan ternakan terutama pada musim kemarau ataupun semasa rumput sukar didapati.

“Selain itu, penghasilan silaj ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan import seperti pellet. Dengan penggunaan bahan tanaman tempatan seperti rumput napier dan sisa pertanian, para peserta dilatih cara untuk menghasilkan silaj dengan lebih cekap, berkualiti tinggi serta dapat mengurangkan kos operasi penternak.

"Para peserta juga diajar tentang cara memilih tanaman, proses pemeraman (fermentasi), penyimpanan dan penggunaanya,” jelasnya.

Beliau berharap bengkel itu menjadi titik permulaan yang kukuh bagi perkembangan sektor penternakan di Kelantan. Sekali gus membantu meningkatkan ketahanan makanan ternakan serta dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber asli yang ada di Kelantan.

Turut hadir, Pengarah JPV Negeri Kelantan Dr Yahasmida Yaacob dan Pengurus KBC Tengku Abdul Hadi Tengku Md Fauzi.




Post a Comment

0 Comments