Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 17 Disember – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terus komited mengekalkan status Pasar Besar Siti Khadijah sebagai pasar awam terbersih di Malaysia dengan memperkenalkan inisiatif tandas Bersih, Menawan, Wangi (BMW).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah menyatakan, langkah tersebut bertujuan memperkukuh reputasi pasar ikonik itu dan meningkatkan keselesaan pengunjung dan peniaga.
Katanya, memandangkan Pasar Besar Siti Khadijah pernah menerima pengiktirafan sebagai Pasar Awam Terbersih di Malaysia pada tahun 2021 sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, status itu wajar dikekalkan.
Beliau yakin Inisiatif tandas BMW dan usaha kebersihan menyeluruh yang dijalankan oleh MPKB-BRI mampu menjadikan Pasar Besar Siti Khadijah terus unggul sebagai mercu tanda kebersihan dan daya tarikan pelancongan Kelantan.
“MPKB-BRI memanfaatkan teknologi moden seperti penyedut vakum industri dan mesin cuci tekanan tinggi. Selain itu, jadual pembersihan harian dan berkala melibatkan tenaga kerja profesional telah disusun bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, MPKB-BRI juga melaksanakan pelbagai inisiatif lain untuk memastikan kebersihan pasar secara menyeluruh seperti kempen pengasingan sisa basah dan kering, penyediaan tong sampah dan tong kitar semula di lokasi strategik dan pengangkutan sisa secara harian bagi mengelakkan timbunan sampah.
Menurutnya, usaha berterusan dilaksanakan melalui program seperti kempen kesedaran kebersihan menerusi media sosial, poster, dan siaran tempatan.
Temasuk juga kursus kebersihan khas untuk peniaga dan pekerja pasar dan aktiviti gotong-royong komuniti serta penubuhan pasukan pemantau kebersihan turut dilakukan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, tindakan serius seperti mengenakan denda akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan kebersihan.
“Kita ingin memastikan kebersihan pasar ini kekal sebagai simbol kemodenan dan kebanggaan bandar Kota Bharu, menepati standard antarabangsa serta menarik minat pelancong tempatan dan luar negara,” tambahnya.
0 Comments