Oleh: Asri Hamat
TUMPAT, 10 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa atas sumbangan besar kepada mangsa banjir di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan menyifatkan bantuan berupa 500 unit tilam pelbagai saiz, 850 unit bantal, 1,000 pek makanan asas, dan air mineral itu sebagai bukti keprihatinan dan kebersamaan yayasan tersebut dalam membantu rakyat yang terkesan.
"Ini merupakan sumbangan terbesar yang diterima setakat ini dan ia sangat dihargai. Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir serta mencerminkan kesatuan hati rakyat Malaysia untuk membantu sesama insan," kata beliau dalam satu majlis penyerahan bantuan di Masjid Al-Ismaili, Bandar Baharu Pasir Pekan, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada pelbagai pihak lain, termasuk individu, pempengaruh, usahawan, dan NGO yang menyumbang kepada usaha meringankan beban mangsa banjir.
Mengulas kerugian akibat banjir, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli memaklumkan bahawa penilaian sedang dijalankan dan akan dilaporkan pada masa yang sesuai. Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersedia menghadapi gelombang kedua banjir.
"Persediaan kita adalah pada tahap terbaik, namun jumlah mangsa kadangkala melebihi jangkaan. Contohnya, kita bersedia untuk 100 mangsa, tetapi yang berlaku mungkin lebih. Walau bagaimanapun, kita tetap berusaha memberikan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, wakil Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa Aida Lim Abdullah menjelaskan, Kelantan dipilih sebagai fokus utama bantuan kali ini kerana menjadi negeri paling teruk terjejas oleh banjir berbanding Kedah dan Terengganu.
"Sumbangan ini bernilai kira-kira RM300 ribu dan melibatkan tilam berkualiti tinggi, bantal, pek makanan asas, dan air mineral. Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir di sini," katanya.
Sumbangan tilam dan bantal diagihkan ke DUN Pengkalan Kubor dan DUN Kelaboran, manakala pek makanan asas disalurkan ke DUN Gual Periok dan DUN Apam Putra.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan dan ADN Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad.
0 Comments