Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN KELUARKAN BERAS SENDIRI PERTENGAHAN 2025 - EXCO PERTANIAN

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 31 Disember- Kerajaan Negeri Kelantan berusaha mengeluar dan memasarkan beras sendiri pada pertengahan 2025, kata Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya lagi, jangkaan tersebut berdasarkan usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta untuk menyiapkan kilang padi bagi memproses beras di kampung Meranti Pasir Mas.

Kilang tersebut akan memproses beras keluaran Kelantan dengan jenama Beras Agro Darulnaim.

"Sekarang ini, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) bersama syarikat swasta sedang giat menyiapkan sebuah kilang padi untuk memproses beras di kampung Meranti, Pasir Mas.

"Mengikut pemaju, progres pembinaan kilang tersebut telah mencapai 75 peratus dan proses mengeluarkan beras akan bermula pada pertengahan tahun 2025."

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama Ketua Biro Harakah, Mazlan Jusoh dan wartawan Arif Ismail di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada 23 Disember lalu.

Tambah beliau lagi, sebelum ini ada padi yang diusahakan oleh pesawah-pesawah di Kelantan diproses di negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Selangor.

"Kalau kita lihat data yang dikeluarkan oleh Pusat Kawal Selia Padi, sebelum ini terdapat sekitar 80 peratus padi yang diusahakan oleh pesawah-pesawah di negeri Kelantan dihantar ke negeri lain termasuk Terengganu, Kedah dan Selangor untuk diproses.

" Insya Allah, dengan siapnya kilang padi di Meranti, padi dari pesawah Kelantan akan diproses di situ," katanya.

Untuk rekod, apabila kilang tersebut siap sepenuhnya, ia dijangka mampu untuk memproses antara 30,000 hingga 40,000 tan matrik padi pada satu-satu masa. Sekali gus menjamin sekuriti makanan negeri dan negara.



Post a Comment

0 Comments