Oleh: Norzana Razaly
PASIR PUTEH, 31 Disember – Pusat Khidmat DUN (PKD) Gaal berhasrat memperkenalkan teknik penanaman padi hibrid sebagai langkah memajukan sektor pertanian tempatan dan meningkatkan pendapatan petani.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal, YB Mohd Rodzi Jaafar bersama rombongannya telah mendapatkan penerangan berkaitan teknologi padi hibrid daripada pakar pertanian terkenal, Dr. Fung Fwei Chong, di Chaah, Segamat, pada Khamis.
YB Mohd Rodzi memaklumkan bahawa padi hibrid tersebut berpotensi membawa perubahan besar kepada sektor pertanian tempatan, termasuk di Kelantan, kerana ia lebih tahan lasak, memerlukan kurang air, dan memberikan hasil yang tinggi.
“Hasil penyelidikan Dr. Fung menunjukkan padi ini mampu dituai sehingga lima kali sekali tanam, dengan potensi menghasilkan 16 tan bagi setiap satu hektar untuk sekali tuaian. Teknologi ini adalah inovasi yang sesuai dengan keperluan pertanian moden,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut berharap teknologi ini dapat membantu meningkatkan produktiviti serta memperbaiki taraf hidup para petani, sekali gus memacu pembangunan luar bandar.
Sementara itu, Dr. Fung menjelaskan, teknologi padi hibrid ini mampu memenuhi keperluan pertanian masa kini dan berpotensi menjadi pemangkin perubahan kepada pembangunan ekonomi kawasan luar bandar.
“Dengan sokongan dan penglibatan pihak berkepentingan, usaha ini diyakini dapat memberikan impak positif jangka panjang kepada komuniti petani,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Urus setia Penghulu Negeri Kelantan Zulkifli Mamat.
0 Comments