Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN KOMITED PASTIKAN PENDIDIKAN TERBAIK UNTUK ANAK NEGERI

Kredit Foto FB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Hj Mohd Nassuruddin Haji Daud

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 23 Disember — Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada anak-anak negeri melalui pelbagai inisiatif biasiswa dan pinjaman pendidikan.

Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa pendidikan merupakan teras utama dalam pembangunan modal insan, dengan pelajar menjadi harapan negeri untuk mencorak masa depan yang lebih gemilang.

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) sentiasa berusaha memastikan anak-anak Kelantan mendapat peluang pendidikan terbaik, sama ada dalam bentuk pinjaman atau biasiswa.

"Ini adalah amanah besar yang dipikul demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YAKIN Bil. 2/2024, di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Beliau menekankan keyakinan kerajaan negeri bahawa pelaburan dalam pendidikan akan membawa kesan besar terhadap pembangunan negeri melalui kelahiran generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.

“Kita menyeru semua pelajar agar merebut peluang ini dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik, seterusnya mengharumkan nama negeri di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Untuk rekod, YAKIN merupakan institusi utama yang menguruskan biasiswa dan pinjaman pendidikan di Kelantan, memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses pendidikan kepada rakyat negeri ini.


Post a Comment

0 Comments