Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 23 Disember – Penganjur majlis makan malam yang menampilkan tarian gelek dan aksi tidak sopan oleh seorang wanita di khalayak ramai bakal berdepan tindakan tegas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata penganjur majlis makan malam syarikat perlombongan emas yang berlangsung di dewan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Tanah Merah itu berlangsung semalam tanpa sebarang permohonan permit hiburan.
Menurutnya, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) telah diarahkan menjalankan siasatan segera terhadap penganjuran acara yang melanggar peraturan tersebut.
"Saya sendiri baru mengetahui perkara ini semalam dan siasatan sedang dijalankan. Penganjur dan pihak sekolah akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau menjelaskan, semakan MDTM juga mendapati tiada permohonan permit dibuat untuk majlis itu, yang dihadiri majoritinya oleh pelombong dari Tanah Besar China serta pekerja dan tetamu tempatan, termasuk individu beragama Islam.
“Acara tersebut secara jelas melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 kerana diadakan tanpa lesen. Penganjur boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali," tegasnya.
Video acara tersebut yang tular di media sosial telah mencetuskan kecaman orang ramai, terutama terhadap penyalahgunaan dewan sekolah bagi aktiviti tidak beretika.
“Tindakan ini amat dikesali kerana hiburan tidak bermoral seperti itu diadakan di dewan sekolah. Mana-mana dewan sekolah tidak wajar dijadikan lokasi untuk aktiviti tidak bermoral seperti tarian lucah dan hidangan minuman beralkohol,” ujarnya lagi.
Sebagai peringatan, YB Hilmi menasihati penganjur acara sambutan Tahun Baharu 2025 agar membuat permohonan awal bagi mendapatkan permit hiburan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Permohonan lewat tidak akan dilayan. Kejahilan terhadap peraturan bukan alasan pembelaan. Setiap kerajaan ada undang-undangnya dan pihak berkenaan harus mematuhinya.
“Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2024 baru diluluskan dalam sidang DUN baru-baru ini telah menambah hukuman bagi membendung kes-kus hiburan tanpa permit sebegini. Enakmen ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2025,” katanya.
0 Comments