ARUS LEBIR
DALAM kes bekas menteri daripada PKR, Zuraida Kamaruddin tindakannya keluar parti pada 2020 dikenakan hukuman perlu membayar RM100,000 kepada parti itu.
Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi supaya Zuraida membayar RM10 juta. Mahkamah menjelaskan jumlah itu bukan pampasan yang munasabah.
Keputusan tersebut secara jelas menggambarkan sebarang perjanjian bon mengikat seseorang wakil rakyat bersama partinya. Ia juga disebut tempias Akta Anti Lompat Parti.
Mungkinkah menteri dari Umno Tengku Zafrul juga akan terkena tempias serupa. Cuba kita belek falsafah di sebalik Akta Anti Lompat Parti.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tiga perkara utama diistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti.
Pertama memenangi pilihan raya dan kemudian umum keluar parti. Kedua, dipecat parti juga dikirakan melompat parti. Kata Dr Wan Junaidi, Ahli Parlimen terbabit berhadapan risiko kehilangan kerusi.
Adakah Tengku Zafrul termasuk kategori tersebut. Namun beliau bukan ahli parlimen. Jadi akta tersebut mungkin tidak tempias terhadapnya.
Mungkin inilah yang disebut ramai, kelompongan akta tersebut. Malah sebelum ini Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumum tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong perdana menteri.
Kes enam ahli parlimen terbabit berbeza dengan Zafrul. Beliau hadir ke Dewan Rakyat atas status senator. Namun, ada persamaan dengan kes Zuraida.
Kelompangan Akta Lompat Parti tidak dapat dinafikan. Media sebelum ini melaporkan Anwar Ibrahim bersedia berbincang meminda akta itu untuk memperbaiki kelompangan.
Apa kata kita cadangkan ahli Dewan Negara juga perlu diambil kira. Mereka tidak boleh dibiarkan melompat sana sini. Biar pun kedudukan tidak terjejas, namun integriti tercalar teruk.
Ramai pelik mengapa Anwar berminat sangat dengan Zafrul. Presiden PKR itu seolah-olah buat lembu kenyang terhadap komentar tajam pemimpin Umno.
Amaran Zahid
Begitu juga amaran Zahid Hamidi. Pemimpin Umno mungkin lupa pada 2021 lima Adun Amanah dibiarkan menyertai PKR. Tiga kes berlaku di Johor dan dua di Selangor.
Adun terbabit mewakili Senggarang, Khairuddin A Rahim; Adun Serom, Faizul Amri Adnan dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.
Di Selangor Adun Amanah menyertai PKR iaitu Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman.
Apakah agaknya Umno baru sedar siapa sebenarnya PKR. Biar pun tidur sebatal namun mimpi berbeza.
Pada 2014, ketika Anwar berkrisis dengan Abdul Khalid Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail disebut sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.
Sebelum itu pada 28 Januari 2014 Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR mengumum meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Kerusi Dun Kajang dikosongkan bagi memberi laluan Wan Azizah dilantik Menteri Besar Selangor. Dan hari ini selepas 10 tahun berlalu, episod serupa seperti mahu diulangi. Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kemungkinan akan dipindah ke pusat.
Namun pada kenyataannya beliau mahu kekal sebagai menteri besar sehingga akhir penggal ini.
“Saya dinasihatkan dan mendapat perkenaan Sultan Selangor untuk menyebut tentang perkara itu kepada umum,” kata Amirudin seperti dilapor media.
Jelas sekali lagi krisis PKR berlaku lagi di Selangor. Mengulangi apa yang menimpa Khalid Ibrahim 10 tahun lalu.
Amirudin terpaksa mencipta alasan untuk terus kekal di kerusi Menteri Besar. Mungkinkah selepas ini beliau akan kembali bersama pasukan Azmin Ali, bekas sifunya dalam PKR.
Calon MB
Manakala Tengku Zafrul pula memberi bayangan. Katanya beliau sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat.
“Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem.
“Ramai maklum isu-isu ini telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor, tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor,” katanya pada kenyataan Ahad lepas.
Beliau juga mengakui pernah berbincang dengan pemimpin PKR. Ia turut disahkan Anwar. Kata Presiden PKR, prisip parti itu terbuka.
“Ada pemimpin kita pernah jadi Setiausaha Agung Amanah, ada pemimpin DAP jadi calon kita. Ada juga calon PKR pernah keluar masuk DAP,” kata Anwar.
Apa pun tahniahlah Tengku Zafrul awal-awal lagi sudah disenaraikan sebagai calon MB Selangor. Apa yang berlaku itu jelas menggambarkan Umno sudah relevan lagi.
Makin ramai pemimpin yang nampak ikhlas mengintai bahtera lain. Adakah Najib juga mengambil langkah serupa selepas ini. Isu adendum hampir pasti penyokong Najib semakin muak dengan Anwar.
0 Comments