Ticker

6/recent/ticker-posts

MENTERI BESAR KELANTAN LUNASKAN KEWAJIPAN ZAKAT PENDAPATAN

Kredit gambar FB Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA DARULNAIM, 31 Disember – Dalam kesibukan mentadbir urus negeri, komitmen terhadap tuntutan agama tetap dilunaskan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud. 

Beliau menunaikan kewajipan zakat pendapatan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Isnin.

Majlis penyerahan zakat yang berlangsung di Balai Islam Lundang, Kota Bharu itu turut dihadiri isterinya Datin Panglima Perang Ustazah Wan Nor Hanita Wan Yaakob.

Kehadiran pasangan pemimpin mesra rakyat itu disambut para pegawai MAIK sebagai saksi penyerahan zakat pendapatan teraju utama negeri Kelantan demi menyokong institusi zakat negeri.

Majlis turut diserikan dengan doa khas oleh Ketua Pegawai Zakat Tuan Ameer Azeezy Tuan Abdullah yang memohon agar keberkatan menyelubungi kehidupan Menteri Besar sekeluarga dan semua pembayar zakat di Kelantan.

Menurut Unit Komunikasi Korporat MAIK, program pengumpulan zakat pendapatan merupakan antara inisiatif utama pihak mereka dalam memastikan keperluan golongan asnaf dipenuhi. Semua data kutipan dan agihan zakat kini dipaparkan melalui MyMAIK Dashboard, sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses maklumat secara masa nyata.

Aplikasi itu dibangunkan untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan zakat serta memudahkan masyarakat mengikuti perkembangan agihan kepada golongan yang layak.

Post a Comment

0 Comments