Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 31 Disember- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengeluarkan empat permit hiburan sambutan ambang tahun tahun baharu 2025, malam ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Helmi Abdullah berkata, empat permit itu melibatkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).
"MPKB-BRI mengeluarkan satu permit sempena program Monsoon Food Festival di Asian Village, Tunjong.
"Di Tanah Merah, pihak MDTM telah mengeluarkan dua permit untuk persembahan dikir barat di Dataran Muhibbah Taman Barakah dan di jambatan Gulliemard, manakala MDT mengeluarkan satu permit bagi persembahan nyanyian di Wat Machimaran, Kampung Jubakar Darat.
"Saya berharap pihak penganjur yang terlibat agar sentiasa mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan dan tidak melanggar syarat permit yang dikeluarkan, "katanya menerusi satu kenyataan sebagaimana laporan BERNAMA, pada Ahad.
Mengulas mengenai Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024, YB Hilmi berkata, penggubalan enakmen tersebut membolehkan kawalan lebih ketat dan tegas terhadap sebarang penganjuran aktiviti hiburan di negeri Kelantan.
"Penggubalan enakmen tersebut juga selari dengan hasrat pihak berkuasa negeri untuk menukar pegawai pelesen hiburan daripada ketua jajahan kepada yang dipertua (YDP) PBT," katanya.
Antara perubahan dalam enakmen baharu tersebut ialah kadar denda kesalahan dan kompaun dinaikkan ke tahap maksimum iaitu RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk rekod, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 telah diluluskan di Persidangan Dewan Negeri Kelantan pada November 2024 dan akan berkuatkuasa pada Januari 2025.
0 Comments