KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sedang menyiapkan sebuah buku Pencapaian Pembangunan MPKB-BRI Berteraskan Prinsip 5 Kaf Tahun 2016-2024 sebagai dokumen dan rujukan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, buku itu sebagai jawapan komprehensif terhadap pencapaian MPKB-BRI untuk dinilai semua pihak.
MPKB diisytiharkan sebagai (BRI) pada 1 Oktober 2005 dengan tumpuan diberi kepada keilmuan, kepatuhan, kebersihan, kebajikan dan kesejahteraan (5 Kaf).
Katanya tumpuannya meliputi indikator pembangunan pengurusan, pembangunan insan, ekonomi dan fizikal.
“Pembangunan fizikal merangkumi kajian lalu lintas, infrasruktur dan utiliti, pelancongan dan warisan budaya, kemudahan awam dan perkhidmatan masyarakat, pengindahan kawasan dan persekitaran perumahan serta kejiranan,” katanya di sini.
Hilmi juga berkata, antara elemen Bandar Raya Islam yang boleh ditunjolkan iaitu fasa Islamik di bangunan, peraturan menutup aurat peniaga wanita Islam dan berpakaian sopan bukan Islam.
Selain itu pengasingan kaunter lelaki, perempuan dan keluarga di pasar raya, penetapan syarat tulisan jawi di papan iklan.
Elemen lain pemberhentian aktiviti perniagaan pada waktu solat Jumaat di pasar raya, memperbanyakkan iklan dakwah, kawalan hiburan, kawalan pengeluaran lesen menjual arak dan pelaksanaan program Madinah Ramadan.
“MPKB-BRI sedang giat melaksanakan beberapa strategi ke arah mencapai status bandar raya iaitu meningkatkan pendapatan kepada RM100 juta setahun.
“Bagi mencapai sasaran itu usaha dilakukan melalui penilaian semula dan perluasan kawasan, semakan kadar, pemantapan pengurusan, mencari hasil baru,” ujarnya.
Beliau juga berkata, bagi mencapai target RM100 juta Bahagian Penilaian MPKB-BRI menyasarkan peningkatan cukai taksiran kepada RM10 juta sehingga tahun 2028.
“Alhamdulillah Bahagian Penilaian mencipta hasil baru sebanyak RM6.948 juta. Di mana RM4.61 juta hasil daripada penilaian semula bagi seksyen 1-28 dan sebanyak RM2.33 juta daripada penilaian tambahan bangunan baru dan perubahan nilaian seksyen 29-65,” katanya.
0 Comments