KOTA BHARU: Amaran angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan menyebabkan ombak mencapai ketinggi sehingga 3.5 meter sangat berbahaya kepada bot-bot kecil bermula Ahad berlarutan sehingga Rabu minggu depan.
Amaran hujan dijangka berlaku di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) berkata, peringatan tersebut turut membabitkan sebahagian Kedah, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Sik dan Baling.
Manakala di Perak membabitkan daerah Hulu Perak, Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Selain amaran hujan berterusan membabitkan keseluruhan Kelantan dan Terengganu, METMalaysia turut meramalkan Mersing dan Kota Tinggi bakal menerima hujan berterusan.
“Ramalan tersebut berdasarkan analisis model-model cuaca terkini luruan Monsun Timur Laut dijangka bermula pada tempoh tersebut menyebabkan hujan di timur, utara, Sabah dan Sarawak,” katanya pada kenyataan di laman sosial METMalaysia.
Orang awam turut dinasihat sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
0 Comments