Ticker

6/recent/ticker-posts

MUSIBAH UJIAN, SYUKUR JALAN MENUJU RAHMAT ALLAH - EXCO DAKWAH

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 8 Disember – "Musibah bukan sekadar malapetaka, tetapi ujian yang membawa peluang besar untuk memperoleh rahmat Allah," tegas Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dalam Kuliah Medan Ilmu. 

Beliau merujuk pengajaran daripada Kitab Jami’ Al-Ahadith Al-Qudsiyyah yang menekankan bahawa musibah adalah ujian bagi hamba Allah yang beriman, manakala nikmat yang tidak disyukuri juga boleh membawa kebinasaan.

Katanya, Allah menurunkan musibah sebagai ujian atau hukuman, tetapi penerimaan dengan sabar dan syukur membuka pintu pahala yang besar. 

YB Mohd Asri turut menyatakan bahawa kesenangan juga boleh menjadi ujian.

“Nikmat yang tidak disyukuri boleh berubah menjadi bencana bagi diri kita,” ujarnya pada Jumaat. 

Beliau menyeru umat Islam untuk sentiasa berdoa dan melakukan kebajikan bagi melindungi diri daripada bala.

"Doa mampu mengangkat bala yang ditetapkan, dan kebajikan memanjangkan usia serta membawa keberkatan dalam hidup," tambahnya.

Peringatan khas turut diberikan agar menjauhi penyebaran naratif palsu atau fitnah, terutama semasa bencana, kerana ia hanya akan menambah kemurkaan Allah. Sebaliknya, doa dan empati kepada mereka yang diuji amat dituntut.

Beliau menutup kuliah dengan hadis Qudsi yang menyatakan bahawa mereka yang sabar dan bersyukur ketika ditimpa musibah akan diampunkan dosa-dosa mereka. Jika ditimpa kesakitan, mereka yang sabar dijanjikan Syurga jika meninggal dunia, dan kesihatan yang lebih baik jika sembuh.

Kredit foto: FB YB Mohd Asri Mat Daud




Post a Comment

0 Comments