Kredit foto: Media Exco Pertanian |
Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 5 Januari - Nasib para petani dan penternak di Kelantan terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila 196 orang dalam kalangan mereka di Parlimen Pasir Puteh menerima bantuan.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, para petani dan penternak telah menerima bantuan berupa input pertanian dan penternakan seperti makanan haiwan ternakan dan baja untuk pertanian.
"Bantuan tersebut diterima oleh 196 petani dan penternak di empat Dewan Negeri (DUN) yang berada di Parlimen Pasir Puteh mengikut permohonan yang telah dibuat. Majlis penyerahan diadakan di Dewan Square Pasir Puteh pada Sabtu", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Sabtu.
Menurut beliau lagi, inisiatif bantuan tersebut bertujuan untuk menyokong para petani dan penternak dalam usaha untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan mereka.
"Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban para petani dan penternak. Diharap mereka boleh memajukan lagi sektor pertanian agar "food security" negara dapat dipertingkatkan," ujarnya.
Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Rakyat (ADR) Parlimen Pasir Puteh, YB Datuk Dr Nik Zawawi Salleh turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak, YB Norsham Sulaiman, ADN Limbongan YB Nor Asilah Md Zin serta wakil daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
0 Comments