Kredit foto: Unit Media Menteri Besar |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 5 Januari – Bertemakan muhasabah amalan dan kepentingan memperteguh iman, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berpesan kepada penjawat awam negeri ini melalui Kuliah Duha Bulanan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK).
Kuliah dimulakan dengan bacaan surah al-Asr dan menggariskan empat langkah menuju kejayaan hakiki iaitu beriman kepada Allah, beramal soleh, berpesan-pesan tentang kebenaran dan kesabaran.
Beliau mentaukid hikmah dengan memetik kata-kata Imam Asy-Syafi'e, "Jika Allah hanya menurunkan surah al-Asr sebagai hujah kepada manusia, nescaya ia sudah mencukupi," katanya di depan 100 penjawat awam yang hadir, di Surau SUK, hari ini.
Merujuk surah al-Baqarah ayat 155 pula Dato’ Mohd. Nassuruddin mengingatkan bahawa ujian dalam kehidupan hanyalah sebahagian kecil berbanding nikmat yang Allah kurniakan.
Katanya, "Saat diuji banjir atau kesusahan, tempoh itu amat singkat berbanding hari-hari nikmat yang Allah berikan."
Di samping itu, Dato’ Mohd. Nassuruddin menekankan pentingnya menghitung amalan sebagaimana pesan Saidina Umar Al-Khattab, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalanmu sebelum ia ditimbang."
Beliau juga memetik pengajaran ayat Surah Al-Kahfi ayat 49 yang menggambarkan ketakutan golongan pendosa terhadap catatan amal mereka yang tidak meninggalkan satu pun perbuatan kecil mahupun besar.
Seterusnya, Surah al-Inshiqāq ayat 7 hingga 11 turut dijadikan peringatan mengenai dua cara manusia menerima catatan amal; dengan tangan kanan sebagai tanda kejayaan, atau dari belakang sebagai petanda penyesalan yang tiada akhir.
Menteri Besar juga menekankan kepentingan amalan sunnah seperti solat dua rakaat sebelum Subuh yang disebut Rasulullah SAW sebagai lebih baik daripada dunia dan seisinya.
Beliau menggesa agar setiap penjawat awam menjadikan amalan tersebut sebahagian daripada rutin kehidupan.
Mengakhiri kuliah, beliau berkongsi perumpamaan yang mendalam sebagai peringatan kepada penjawat awam untuk muhasabah diri, memperbaiki amalan, dan memastikan setiap tindakan mereka selari dengan syariat Allah SWT, khususnya dalam menjalani tahun baharu ini.
"Jika seekor beruk yang kita pelihara tersalah memilih kelapa, kita menghukumnya. Maka, bagaimana pula dengan kita sebagai ciptaan Allah, apabila kita mengabaikan arahan-Nya dan memilih jalan selain Islam?"
0 Comments