Kredit foto: Unit Media Menteri Besar |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 7 Januari- Bandar Kota Bharu bakal berubah wajah apabila projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu siap menjelang 2027.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata projek di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dirangka selari dengan Rancangan Tempatan dan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi mempertingkat imej bandar Kota Bharu.
"Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu bertujuan untuk memperindahkan wajah bandar Kota Bharu serta meningkatkan keselesaan penduduk dan pengunjung.
"Usaha tersebut sejajar dengan kehendak Kerajaan Negeri Kelantan untuk membangunkan persekitaran bandar yang lebih indah serta menarik demi kesejahteraan rakyat. Semoga projek ini berjalan dengan lancar," katanya menerusi siaran media miliknya, pada Isnin.
Sebelum itu, Menteri Besar menerima kunjungan Pengarah Urusan Madani Resources Sdn. Bhd, Al Zahari Ali untuk membentangkan perkembangan terkini projek tersebut. Madani Resources merupakan syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan projek pembangunan landskap perbandaran Kota Bharu.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah yang turut serta dalam kunjungan tersebut memaklumkan bahawa projek bernilai RM35 juta tersebut dibahagikan kepada enam zon iaitu Zon Jejak Warisan Diraja, Zon Jejak Warisan Budaya, Zon Tepian Sungai, Zon Perniagaan, Zon Sukan dan Zon Institusi.
"Semua enam zon tersebut akan dibina dengan reka bentuk berteraskan Melayu Islam yang berkonsepkan "Salam."
“Teras ini akhirnya akan diterjemahkan ke dalam susunan ruang dan seni bina landskap kejur dan lembut bermotifkan identiti "Ketam Guri" Kelantan," katanya juga menerusi catatan di media sosial miliknya.
YB Hilmi turut berharap agar projek pembangunan landskap ini akan dapat mencorakkan identiti Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam dalam taman yang menggalakkan masyarakatnya hidup dalam kesederhanaan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
"Dengan siapnya projek pembangunan landskap perbandaran ini, diharap warga bandar Kota Bharu berusaha untuk menghapuskan pencemaran dengan mengekalkan elemen kehijauan serta mencintai kebersihan yang bertunjangkan keimanan untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT," ujarnya.
0 Comments