Ticker

6/recent/ticker-posts

BELIA DIPELAWA SERTAI LATIHAN INTENSIF SULAM KELINGKAN DAN SONGKET, ELAUN DIBERIKAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 19 JANUARI – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, YB Rohani Ibrahim mempelawa beliawanis Kelantan untuk menyertai program Latihan Intensif Sulam Kelingkan dan Songket 2025/2026 anjuran Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) dengan kerjasama Pertubuhan Kraf Malaysia atau Malaysian Craft Council (MCC).

Menurut YB Rohani, peserta dikehendaki menjalani latihan premium selama tiga bulan di bawah bimbingan pakar sulaman dan tenunan songket dengan ganjaran elaun latihan sepanjang tempoh program.

Katanya, sulam kelingkan ialah seni sulaman tradisional Melayu yang menggunakan benang logam seperti emas atau perak, terkenal dengan coraknya yang halus dan mewah.

“Ia sering menghiasi pakaian tradisional seperti baju kurung, kebaya, dan selendang. Menariknya, seni ini kini hanya diusahakan di Kelantan dan Sarawak, dengan motif corak bunga yang berbeza mengikut identiti negeri masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, YB Rohani Ibrahim

Beliau turut menjelaskan bahawa program yang bertujuan memperkasakan seni warisan tradisional Melayu melalui latihan intensif bersama pakar industri tersebut turut menyediakan Sijil Pengiktirafan Eksklusif untuk peserta yang berjaya dan berpeluang menghasilkan produk tradisional bernilai tinggi.

Peserta terhad kepada 20 pelajar sahaja untuk latihan Sulam Kelingkan yang bermula pada Mei hingga Ogos 2025. Manakala kelas songket bermula pada Januari hingga April 2026 yang juga terhad kepada 20 peserta.

“Kita yakin para belia Kelantan teruja mahu mempelajari seni tradisional Sulam Kelingkan dan Songket di PLWOA (Pusat Latihan Wanita, OKU dan Armalah) Kota Bharu untuk mencipta masa depan yang lebih cerah dalam bidang kesenian tekstil. Jadi kerajaan negeri melalui U-KeKWa ambil inisiatif berkerjasama dengan MCC.

"Oleh itu, kita harap para peserta dapat menyelesaikan program menarik ini bagi melayakkan mereka menerima sijil. Kejayaan mereka memberi komitmen penuh akan menghindari mereka daripada dikenakan penalti,” katanya.

Belia dan beliawanis Kelantan berumur 18 tahun ke atas khasnya alumni kelas jahitan atau sulaman PPWK atau individu yang mempunyai asas kemahiran menjahit atau menyulam, sihat tubuh badan, aktif serta berkomitmen tinggi dan sedia memberikan usaha sepenuhnya, dialu-alu mendaftar segera melalui pautan berikut https://forms.gle/xVNLmNdtMZV5o36i9

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui https://wasap.my/60139845917/PendaftaranTekstil 

Post a Comment

0 Comments