Ticker

6/recent/ticker-posts

MENTERI BESAR KELANTAN PELAWA PELAJAR KEMBOJA LANJUTKAN PELAJARAN DI KELANTAN

Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 19 Januari – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mempelawa pelajar-pelajar dari Kemboja untuk menjadikan Kelantan sebagai destinasi bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut beliau, Kelantan menawarkan peluang pendidikan yang luas melalui sekolah-sekolah harian, Pusat Pengajian Pondok di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), serta institusi seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

“Pelajar dari Kemboja boleh memilih untuk menyambung pengajian di KIAS sebelum meneruskan ke universiti terkemuka seperti Universiti al-Azhar, Mesir, dan Universiti az-Zitunah, Tunisia.

"Ini adalah peluang terbaik untuk memperkukuh ilmu dan melanjutkan pendidikan Islam,” katanya menerusi catatan di media sosial rasminya, Jumaat lalu.

Dato' Mohd Nassuruddin turut melahirkan rasa bangga apabila sistem pendidikan YIK diterima pakai oleh 45 buah sekolah agama di Kemboja.

Dalam rangka lawatan kerja ke negara itu, beliau sempat bertemu dengan 140 pelajar di Maahad Muhammadi Beng Broul.

Dalam sesi tersebut, beliau menyampaikan taujihat kepada pelajar-pelajar dan guru-guru mengenai kepentingan ilmu dalam membina kehidupan, membentuk peradaban, serta memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.

“Terima kasih atas sambutan hangat yang diberikan kepada rombongan kami. Semoga hubungan erat ini terus kukuh demi kegemilangan Islam di Kemboja,” ujarnya.

Tambahnya, perkembangan Islam di Kemboja semakin pesat, banyak didorong oleh penglibatan pendakwah dari Kelantan.

“Ramai imam dan guru di sini menerima pendidikan Islam di Kelantan. Saya amat teruja apabila disapa dengan loghat Kelantan oleh beberapa jemaah,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Kelantan telah menjalin kerjasama pendidikan dengan Kemboja sejak tahun 2001.

Inisiatif tersebut diilhamkan oleh al-marhum mantan Menteri Besar Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Melalui kerjasama itu, YIK dan Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja menganjurkan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) di Kemboja, memberi peluang pendidikan lebih baik kepada umat Islam di sana.



Post a Comment

0 Comments