Ticker

6/recent/ticker-posts

IBADAH SEMBAHYANG ASAS KEKUATAN PENDAKWAH DAN PEJUANG ISLAM - YAB MENTERI BESAR

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 28 Januari- Ibadah sembahyang menjadi asas utama kekuatan pendakwah dan pejuang Islam dalam menempuhi cabaran untuk menyampaikan risalah Islam, kata YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Kata beliau, ibadah sembahyang yang ditunaikan sebanyak lima kali dalam sehari dan disusuli dengan solat sunat menjadi kekuatan dalam diri seseorang yang beriman.

"Kita kena sedar, apabila kita mendirikan sembahyang, sebenarnya kita telah berhubung secara langsung dengan Allah SWT. Dalam sembahyang kita akan mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Ini akan memberi kekuatan dan keteguhan dalam diri kita apabila kita berserah kepadaNya".

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Iqamatu Solat sempena Pelancaran Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Lundang, Kota Bharu hari ini.

Menurut YAB Menteri Besar lagi, dengan Ibadah sembahyanglah menjadi nadi kekuatan kepada para pejuang dan rakyat Palestin menghadapi kekejaman Israel laknatullah, sehingga mereka mampu bertahan untuk mengharungi Taufan Al-Aqsa selama lebih 460 hari.

"Keyakinan terhadap janji-janji Allah SWT serta kekuatan hubungan mereka dengan Yang Maha Berkuasa melalui Ibadah sembahyang telah memberi kekuatan kepada mereka untuk menghadapi kekejaman Israel laknatullah", katanya.

Tambah YAB Menteri Besar lagi, peranan ketua keluarga amat penting untuk melahirkan generasi solat. Katanya ketua keluarga hendaklah menunaikan sembahyang di hadapan anak-anak atau mengajaknya sembahyang di masjid supaya tertanam di dalam diri anak-anak tentang betapa pentingnya menjaga sembahyang.

"Sayyidina Umat al-Khattab radhiallah anhu sentiasa bangun untuk menunaikan sembahyang sebanyak diizinkan oleh Allah SWT sehingga menjelang subuh, kemudian beliau mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan sembahyang. Jika mereka enggan bangun, beliau akan memercikan air ke wajah mereka", tambah Menteri Besar lagi.

Jelas YAB Menteri Besar lagi, hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan pelan strategik Penghayatan Membangun Bersama Islam akan tercapai sekiranya agenda pembinaan generasi solat menjadi lebih inklusif dengan melibatkan setiap anggota masyarakat.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius untuk memastikan kecemerlangan amal Islami dalam kalangan masyarakat melalui pensyariatan "Iqamatu Solat" dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya", jelasnya.

Dalam majlis tersebut turut diadakan pelancaran kit solat dan penyampaian anugerah Ikon Membina Generasi Solat (MGS) bagi kategori kanak-kanak kepada adik Wan Faris Ayyash Wan Abdul. Halim dari Dewan Negeri Limbongan.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam AB Rahman, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli dan Ketua Pengelola Halaqat, Dr Alwi Jusuh.



Post a Comment

0 Comments