Ticker

6/recent/ticker-posts

INISIATIF KELANTAN PERKASA GENERASI SOLAT, ALUMNI MGS CECAH 200,000

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Januari – Program Membina Generasi Solat (MGS) mencatat pencapaian membanggakan apabila jumlah alumninya kini mencecah 200,000 orang sejak diperkenalkan pada 2012.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta KYB Mohd Asri Mat Daud berkata angka tersebut merangkumi golongan belia dan remaja dari seluruh Kelantan yang telah mengikuti program itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kesedaran solat dalam kalangan generasi muda.

"Sejak dilancarkan pada 2012 sehingga kini, lebih 200,000 alumni telah lahir daripada program MGS.

"Ia membuktikan keberkesanan inisiatif ini dalam membentuk generasi yang cakna kepentingan solat dan nilai Islam dalam kehidupan seharian," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Iqamatu Solat sempena Sambutan Bulan Solat peringkat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, semalam.

Beliau turut mengumumkan penambahbaikan silibus MGS tahun ini, yang disusun dengan lebih sistematik dan menyeluruh oleh pakar bagi memastikan keberkesanannya dalam kalangan peserta.

"Modul baharu ini merangkumi semua silibus terdahulu, disusun dengan lebih teliti agar dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan. Kami yakin, dengan pendekatan komprehensif ini, generasi solat akan terus berkembang, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, malah golongan dewasa," ujarnya.

Tambahnya, pengukuhan modul MGS juga berperanan sebagai benteng keimanan kepada anak muda yang berdepan cabaran dunia moden, termasuk pengaruh negatif dalam era digital.

"Solat bukan sekadar ibadah, tetapi juga solusi dalam menangani pelbagai permasalahan sosial.

"Apabila solat dilaksanakan dengan sempurna, ia menjadi perisai yang dapat membentuk peribadi unggul dan menghindarkan seseorang daripada gejala negatif dalam masyarakat," jelasnya.

Majlis perasmian turut diserikan dengan forum ilmiah, penyampaian Anugerah Ikon Solat bagi kategori kanak-kanak, pelancaran Kit Solat, serta persembahan sketsa bertajuk 24434 – simbolik kepada bilangan rakaat solat fardu lima waktu – oleh Pertubuhan Anak-Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK).





Post a Comment

0 Comments